Penyerang muda skuad kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta mendapat peluang untuk beraksi bersama pasukan B-23 tahun kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Leicester City baru-baru ini.

Akan tetapi, Suphanat tidak beraksi sebagai pemain rasmi kelab tersebut melainkan beliau diberi peluang untuk beraksi ketika tempoh latihan pemain itu selama sebulan bersama Leicester.

Leicester yang dimiliki oleh syarikat gergasi Thailand, King Power menjemput Suphanat Mueanta serta dua lagi pemain iaitu Suphachai Jaided dan Rattanakorn Maikami untuk menjalani latihan bersama kelab tersebut selama sebulan memandangkan saingan Thai League 1 musim 2022/2023 belum bermula.

Suphanat diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi persahabatan pra musim menentang kelab yang beraksi di liga divisyen tujuh liga bola sepak England iaitu Barwell yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

Menurut perkongsian salah sebuah media tempatan, Leicester Mercury, ketiga-tiga pemain berkemungkinan besar tidak akan menyertai juara EPL musim 2015/2016 itu kerana permit kerja yang dilihat sukar untuk diperoleh.

Rakan sepasukan Suphanat di Thailand iaitu Thanawat Suengchitthawon mendapat permit kerja sekaligus dibenarkan untuk beraksi bersama Leicester kerana beliau juga memegang pasport Perancis.

Sebelum ini, pemain berusia 19 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo setelah pasukan itu kehilangan Chanathip Songkrasin yang menyertai Kawasaki Frontale.

Suphanat Mueanta
Sumber Gambar: Buriram United

Namun, Consadole Sapporo memutuskan untuk menandatangani abang Suphanat iaitu Supachok Sarachat secara pinjaman selama enam bulan sekaligus menyebabkan pemaim itu kekal beraksi di Thailand.

Selain itu, Buriram juga menandatangan perjanjian dengan Consadole dimana kedua-dua kelab ini akan saling membantu dari segi pembangunan bola sepak, akademi dan juga mempromosikan bandar Buriram dan juga Sapporo untuk meningkatkan industri pelancongan di bandar tersebut.

Suphanat membantu Buriram United muncul juara saingan Thai League 1 mengetepikan juara musim lalu iaitu BG Pathum United sekaligus melayakkan diri ke saingan AFC Champions League (ACL) musim hadapan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:

Lisandro Martinez Tolak Arsenal Dan Pilih Manchester United

Eden Hazard Untuk Dijual

Pengurus Telford United Puas Hati Dengan Prestasi Kobe Chong