Chelsea meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Eropah apabila menjulang Piala Super Eropah (UEFA Super Cup) 2021 selepas berjaya menundukkan Villarreal 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit perlawanan berkesudahan terikat 1-1.

Kemenangan manis yang dicatatkan di Windsor Park, Ireland Utara itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila lawan dari Sepanyol tersebut memberikan cabaran sukar buat skuad kendalian Thomas Tuchel.

Aksi di babak pertama memperlihatkan penguasaan permainan ditampilkan Chelsea dimana The Blues memperoleh jaringan pendahuluan pada minit ke-27 menerusi pemain sayap lincah, Hakim Ziyech.

Menerima hantaran lintang menarik daripada Kai Havertz, pemain kelahiran Maghribi itu tidak mensia-siakan peluang untuk menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol, Sergio Asenjo.

Permainan lebih seimbang ketika memasuki separuh masa kedua sekali gus membolehkan Villarreal kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-73 apabila Gerard Moreno dengan tenang mengambil kesempatan susulan kesilapan hantaran Antonio Rudiger untuk membolosi gawang Chelsea.

Usaha kedua-dua pasukan selepas itu untuk mendapatkan jaringan kemenangan tidak membuahkan hasil bagi pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Percaturan Tuchel yang memasukkan Kepa Arrizabalaga pada minit ke-119 untuk menghadapi penentuan sepakan penalti nyata membuahkan hasil apabila penjaga gol gantian itu bertindak cemerlang dalam menafikan dua sepakan pemain Villareal.

Kepa berjaya menepis sepakan kedua yang diambil Aissa Mandi untuk menghalang lawan tersebut melebarkan kelebihan selepas Havertz gagal menyempurnakan sepakan pertama.

Ketika keputusan 6-5 memihak Chelsea, penjaga gol berusia 26 tahun itu berjaya mengagak dengan baik sepakan yang diambil ketua pasukan, Raul Albiol sekali gus menghadiahkan trofi Piala Super Eropah kedua dalam sejarah Chelsea selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1998.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Iniesta: Pedih Melihat Lionel Messi Pakai Jersi Kelab Lain

Presiden PSG: Kami Sentiasa Mengikuti Garis Panduan FFP

Persatuan Pemain Tidak Jaga Kebajikan, Drogba Letak Jawatan Sebagai Naib Presiden