Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pemain skuad kebangsaan Thailand, Supachok Sarachat menyatakan beliau mahu mencipta impak tersendiri bersama kelab barunya, Hokkaido Consadole Sapporo.

Menurut Sarachat, beliau tidak merasa tertekan menjadi pemain Thailand kedua yang beraksi bersama Consadole dan sasarannya ialah tampil lebih baik berbanding pemain terdahulu iaitu Chanathip Songkrasin.

“Saya tidak merasa sebarang tekanan. Saya mahu mencipta impak saya sendiri dan mungkin mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Chanathip.

“Hokkaido Consadole Sapporo adalah salah satu pasukan yang gemar menyerang dan saya akan menyertai rakan sepasukan tidak lama lagi.

“Saya amat gembira apabila saya dengar ada tawaran daripada Consadole. Saya tak sangka mereka akan menghubungi saya tetapi saya gembira dengan peluang ini,” katanya.

Tambah Supachok, beliau sedar saingan Liga Jepun adalah liga terbaik di Asia dan beliau mempunyai impian untuk beraksi di liga negara matahari terbit itu.

“Apabila saya mempunyai peluanh untuk berdepan pasukan Jepun di pentas AFC Champions League (ACL), mereka jauh lebih baik dari aspek gaya permainan dan juga taktikal.

“Itu membuat saya sedar bahawa sukar untuk beraksi di liga seperti ini. Saya amat gembira kerana dapat merasakan pengalaman itu dengan beraksi di sini.

Supachok juga bertanya kepada Chanathip mengenai bandar Sapporo dari segi cuaca, suasana dan ketua pasukan Thailand itu memberi banyak nasihat kepadanya.

“Saya mahu membawa kelab ke posisi yang lebih baik. Tak kira bagaimana peranan saya nanti, saya mahu menjalankan tugas dengan baik.

“Apa yang saya mahu katakan kepada peminat peminat Thailand dan juga masyarakat Sapporo, saya harap mereka menyokong saya. Saya akan berikan yang terbaik untuk kelab,” tambahnya.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Consadole Sapporo secara pinjaman selama enam bulan dari Buriram United. Selain itu, Buriram juga menandatangan perjanjian dengan Consadole dimana kedua-dua kelab ini akan saling membantu dari segi pembangunan bola sepak, akademi dan juga mempromosikan bandar Buriram dan juga Sapporo untuk meningkatkan industri pelancongan di bandar tersebut.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Jurulatih PSM Makassar Berang Dengan Jadual, Anggap AFC Bantu KL City

Piala Dunia 2022: FIFA Benarkan Pasukan Daftar 26 Pemain

Piala AFC: Safee Sali Teringat Jaringan Menarik Ketika Bersama JDT Pada Tahun 2015

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group