Pemain skuad kebangsaan Thailand, Supachok Sarachat melengkapkan perpindahan secara pinjaman dari Buriram United ke kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo selama enam bulan.

Perkara ini dikongsikan oleh pihak kelab apabila Consadole mengumumkan ketibaan pemain berusia 24 tahun itu menerusi laman media sosial rasmi pasukan pada semalam.

Setelah tiba di Sapporo, Supachok tidak membuang masa dimana beliau turun berlatih bersama rakan pasukan baharunya pada hari ini menurut perkongsian J. League English di laman media sosial Twitter.

Supachok tidak tersenarai dalam senarai skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung ketika ini kerana menyelesaikan segala dokumentasi yang diperlukan bagi melengkapkan perpindahan beliau.

Pengerusi Buriam, Newin Chidchob nyata teruja apabila Supachok menyertai Consadole dimana pemain itu boleh meningkatkan kualiti serta tahap permainan kerana beraksi di saingan yang lebih baik berbanding Liga Thailand.

“Ini peluang yang baik bagi Supachok untuk menunjukkan kemampuan dan membuktikan kebolehannya dengan beraksi di liga yang lebih baik berbanding Liga Thailand. Ini merupakan langkah yang penting baginya dalam karier profesional beliau.

“Saya percaya pengalaman yang bakal diraih nanti boleh membantu skuad kebangsaan Thailand di peringkat antarabangsa,” kata Newin.

Selain meminjamkan Supachok, Buriram juga menandatangan perjanjian dengan Consadole dimana kedua-dua kelab ini akan saling membantu dari segi pembangunan bola sepak, akademi dan juga mempromosikan bandar Buriram dan juga Sapporo untuk meningkatkan industri pelancongan di bandar tersebut.

Consadole mendapatkan khidmat Supachok setelah mereka kehilangan pemain bintang pasukan yang juga dari Thailand, Chanathip Songkrasin yang berhijrah dengan menyertai juara Liga Jepun musim lalu iaitu Kawasaki Frontale.

Chanathip menilai Supachok sudah bersedia untuk beraksi di luar negara sekaligus meningkatkat lagi kualiti permainan serta menimba pengalaman dengan beraksi di liga yang lebih baik.

“Ramai pemain Thailand sudah bersedia untuk meningkatkan tahap permainan dan semua bergantung kepada peluang yang diterima. Siapa yang patut beraksi di luar negara? Supachok Sarachat adalah pilihan saya. Saya rasa dia sudah bersedia,” kata Chanathip.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Ratusan Penyokong Bangladesh Dijangka Banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil Esok

Yusri: Layak Ke Piala Malaysia Sasaran Paling Realistik Buat Perak