Pemain baharu Perak FC, Sunil Chandran menyifatkan pengendalinya, Lim Teong Kim sebagai jurulatih yang sangat menitikberatkan disiplin tinggi di atas padang apabila pasukan telah memulakan latihan sejak dua minggu lalu.

Bekas pemain sayap PJ City FC ini sedar dengan tuntutan yang tinggi di atas padang daripada Teong Kim terhadap anak buahnya agar tidak mengambil mudah sesi latihan menunjukkan beliau seorang jurulatih yang cukup tegas.

Melihat skuad baharu yang dibarisi rata-rata pemain muda, dia menganggap tenaga dan usaha keras yang ditampilkan oleh rakan sepasukan lain cukup luar biasa untuk memulakan musim baharu dengan lebih garang.

“Kita yang ada dekat sini dah mulakan latihan sejak dua minggu lepas dan memang berlatih di bawah Teong Kim cukup berbeza.”

Sunil (tengah) bersama rakan sepasukan baharunya. Kredit Foto: Perak Football Club

“Beliau merupakan jurulatih yang sangat memahami pemain dan cukup teliti dalam setiap perkara di atas padang, jadi kita tidak boleh main-main sebab beliau sangat menitikberatkan disiplin yang tinggi.”

“Tetapi saya boleh nampak keterujaan pemain-pemain lain untuk memulakan musim 2023 dan bagaimana pemain muda ini menunjukkan kesungguhan cukup mengagumkan”, ujar Sunil Chandran.

Perak yang melalui episod sukar sejak musim 2021 ekoran masalah kewangan boleh diibaratkan seperti mendapat ‘nyawa baharu’ selepas syarikat telekomunikasi, XOX Berhad sah mengambil alih pasukan pada 29 April 2022.

Keadaan itu menjurus kepada perlantikan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu pasukan tersebut untuk saingan Liga Malaysia musim 2023.