Kontroversi pemecatan Pierre Emerick Aubameyang kerana terlibat dalam masalah disiplin bukanlah perkara yang paling teruk berlaku melibatkan kapten Arsenal.

Ini kerana sejak era Arsene Wenger lagi pemakai lilitan kapten Arsenal seringkali terlibat kontroversi.

Malah peminat Arsenal sendiri menggelarkannya sebagai satu sumpahan ataupun kutukan lilitan kapten di kelab mereka. Arsenal memiliki sejarah kapten yang hebat termasuk pemain seperti Patrick Vieira dan Tony Adams. Memang tak jauh sebenarnya kalau mereka mahu mencari inspirasi.

Pergi ke galeri atau muzium Arsenal dan baca atau tonton kisah dua kapten tersebut.

Bermula dari Thierry Henry. Secara keseluruhannya, Henry bukanlah kapten yang teruk. Namun ‘dosa’ kecilnya mungkin disebabkan dia mahu keluar menyertai Barcelona ketika dia menjadi kapten.

Pada ketika itu Barcelona seringkali cuba memancing pemain Arsenal. Cuma yang pedihnya, Henry sebelum itu bersama dengan Arsenal, menjadi kapten mereka ketika Barcelona menghalang mereka daripada menjuarai UCL. Piala Eropah yang paling hampir dimenangi Arsenal ketika itu.

Jadi, kontroversi Henry itu sebenarnya bukanlah paling teruk. Kerana Wenger sendiri faham, lagipun Henry tidak ada kes mogok atau mendesak kelab melepaskannya. Cuma Arsenal memutuskan untuk menjualnya kerana tidak mahu melihatnya pergi secara percuma.

Galas duduk di padang dan dilucutkan jawatan

Kemudian Arsenal melantik William Gallas menjadi kapten. Perlantikan Gallas memang sangat kontroversi memandangkan dia bekas pemain Chelsea. Gallas pula dibawa masuk kerana pertukaran dengan Ashley Cole. Kontroversi pertama Gallas sudah pastinya ketika dia diberikan nombor 10.

Nombor yang tak kena dengan posisi itu ditambah dengan perangai yang tak kena dengan jawatan. Malah Jens Lehmann sendiri pernah berkongsi cerita bahawa pemain pemain lain terkejut dengan tindakan Wenger masa itu.

Gallas bermain untuk kelab 3 musim. Dia dilucutkan jawatan dari kapten hanya selepas semusim. Gara gara kelakuannya yang melakukan protes seorang diri ketika aksi berdepan Birmingham. Membuatkan Wenger sudah menyampah dengan Gallas.

Ini ditambah selepas itu dia mengkritik rakan rakannya di Arsenal sebagai tidak cukup berani. Seolah olah membandingkan Arsenal dengan Chelsea.

Selepas itu Gallas meninggalkan Arsenal untuk menyertai Tottenham Hotspur.

Selepas pemecatan Gallas dari kapten, Arsene Wenger membuat kejutan lagi dengan melantik pemain muda dari Sepanyol, Cesc Fabregas sebagai kaptennya.

Fabregas minta dijual

Selepas musim yang cemerlang bersama Arsenal, Fabregas menjadi perhatian bekas kelab lamanya iaitu Barcelona.

Dalam satu keraian kejuaraan Piala Dunia, Pepe Reina dan Puyol menyarungkan jersi Bacelona pada Fabregas.

Fabregas melancarkan mogok untuk mendesak perpindahan ke Barcelona. Dan sanggup menerima gaji lebih rendah di Barca berbanding dengan apa yang diterimanya di Arsenal selepas dia melanjutkan kontrak di Emirates.

Ianya menjadi salah satu sebab kenapa Wenger selepas itu tidak pernah memikirkan untuk mendapatkan semula Fabregas.

Fabregas malah pernah berkongsi, sebelum menyertai Chelsea dia menunggu tawaran dari Arsenal, malangnya ianya tak pernah kunjung tiba. Dan Fabregas tanpa gentar menyertai Chelsea yang merupakan seteru kepada Arsenal terutama sekali era Mourinho-Wenger.

Selepas Fabregas, Arsenal akhirnya melantik kapten yang dilihat sangat matang. Pemain yang sentiasa berikrar akan membalas jasa Arsenal kerana dia seringkali dilanda kecederaan iaitu Robin Van Persie.

Persembahan luar biasa Van Persie ketika ditukarkan peranan dari pemain sayap kepada penyerang no.9 membuatkan pemain itu kurang kecederaan kerana tidak banyak menggelecek atau berlari lebih jauh.

Ketika menuju ke fasa akhir kontraknya, Van Persie sentiasa memberikan jaminan dia mahu terus kekal di Arsenal. Wenger ketika itu yakin Van Persie akan memberikan kejuaraan EPL malah UCL ke Arsenal. Kerana pemain itu berada dalam tahap kecergasan luar biasa.

Van Persie sertai pasukan seteru

Malangnya, ketika Sir Alex Ferguson menyatakan minat terhadapnya, Van Persie telah menghantar permintaan rasmi ataupun ‘transfer request’ bahawa dia mahu ke Manchester United.

Menyatakan bahawa dia tak akan melanjutkan kontrak dengan Arsenal. Bermakna, jika Arsenal tidak menjualnya, maka Van Persie akan ke Old Trafford secara percuma selepas kontraknya tamat.

Wenger cuba mencari pembeli dari kelab lain, namun RvP telah mendesak Wenger hanya menerima tawaran daripada Manchester United. Segalanya berlaku, kerana ada bisikan kecil yang menyatakan bahawa dia perlu ke Manchester United.

Paling pedih, Arsenal memberikan guard of honor kepada Manchester United ketika Van Persie berjalan keluar dari terowong Emirates selepas sah bergelar juara EPL. Yang merupakan kejuaraan EPL terakhir Man United.

Vermaelen tiba tiba mahu ke Barca

Arsenal kemudian melantik Thomas Vermaelen untuk menjadi kapten mereka. Selepas dua musim yang cemerlang dan menjadi pemain bek tengah elit di Eropah ketika itu, tiba tiba Vermaelen meminta untuk dijual ke Barcelona.

Namun kariernya di Barcelona merudum teruk. Masalah kecederaan dan krisis prestasi membuatkannya akhirnya menyertai Liga Jepun.

Non playing captain

Arteta adalah kapten Arsenal seterusnya. Namun tidak banyak yang boleh diceritakan tentang Arteta. Kerana peminat menganggap Arteta adalah non-playing captain. Beliau banyak bergelut dengan kecederaan. Wenger melantiknya kerana melihat potensinya dalam menguruskan rakan rakannya sama ada di pusat latihan atau di atas padang perlawanan sebenar.

Akibat banyak sangat kecederaan melanda, Arteta memutuskan untuk bersara. Musim terakhirnya bersama Arsenal cuma beraksi 416 minit.

Selepas Arteta, Arsenal memutuskan untuk kembali menggunakan dasar pemain senior dalam perlantikan kapten dan orang itu ialah Per Mertersacker. Dan kisahnya sama macam Arteta, dia bukan kapten yang bermain setiap minggu.

Membuatkan ramai peminat mulai mendesak agar Arsenal memilih kapten yang sebenar dan bukannya sekadar atas dasar senioriti dan bukan dari kalangan pemain utama yang bermain secara konsisten.

Laurent Koscielny kemudian dilantik selepas Mertersacker bersara. Koscielny menunjukkan prestasi terbaiknya pada 2018. Malangnya terpaksa disisihkan dari skuad Piala Dunia kerana kecederaan.

Kosc mogok dan tanggal jersi Arsenal

Namun selepas itu, Koscielny meminta untuk dijual ke Bordeaux. Unai Emery ketika itu keberatan melepaskan pemain itu kerana Koscielny sudah berada dalam perancangannya.

Akibat kelab tidak melayan permintaannya, maka Koscielny telah melancarkan mogok dan berkata dia tak akan datang ke latihan Arsenal lagi sebab hatinya sudah di Perancis.

Arsenal meminta Bordeaux menaikkan tawaran mereka namun kelab itu tidak mahu berbuat demikian kerana tidak ada wang yang banyak. Akhirnya Arsenal terpaksa menerima sahaja bayaran yang dianggap di bawah nilai yang mereka letakkan.

Kontroversi tidak terhenti di situ sahaja, kerana selepas itu, dalam sesi pengenalan pemain, Koscielny membuatkan peminat Arsenal marah apabila video rasmi kelabnya menunjukkan dia membuka jersi Arsenal.

Koscielny kemudian meminta maaf dan menyatakan dia tiada niat mahu menyinggung perasaan penyokong Arsenal

Unai Emery tampil dengan idea mengadakan sesi undian untuk memilih kapten dan akhirnya mandat diberikan kepada Granit Xhaka.

Xhaka baling armband dan dilucutkan jawatan

Xhaka menjadi pemain yang mendapat tekanan daripada penyokong Arsenal kerana seringkali memberikan foul yang tidak sepatutnya termasuk beberapa kali terkena kad merah.

Bukan itu sahaja, peminat Arsenal kemudian menganggap Xhaka sebagai pemain tengah yang sangat average.

Xhaka jelas sekali membaca komen komen di media sosial. Ini apabila dalam satu perlawanan, dia keluar dari padang untuk digantikan, diiringi oleh boo daripada peminat sendiri di Emirates.

Xhaka mencarut kepada penyokong dan membaling lilitan kaptennya.

Itu tindakan yang sukar diterima kerana lilitan kapten itu ibarat simbol kelab dengan adanya logo kelab yang menjadi kebangaan penyokong.

Selepas itu, Xhaka dibuang daripada jawatan kapten.

Aubameyang dilucutkan jawatan kerana masalah disiplin

Selepas Xhaka, Arsenal melantik Pierre Emerick Aubameyang sebagai kapten. Satu satunya pemain yang dianggap world class setiap musim sejak bersama Arsenal.

Aubameyang kemudian mengesahkan dia melanjutkan kontrak baharu selepas kejayaan membantu Arsenal memenangi Piala FA.

Bertekad mahu menjadi legenda kelab dan kapten paling ‘cool’.

Malangnya, selepas dia menerima kontrak seperti yang dia mahukan dengan gaji yang sangat besar, prestasinya merudum.

Dan musim ini dia dibuang daripada jawatan kapten kerana masalah disiplin.

Jadi, siapakah kapten sepenuh masa Arsenal yang seterusnya? Kerana buat masa ini Arteta memutuskan mahu menggunakan sistem kumpulan kapten dari kalangan Xhaka, Rob Holding, Lacazette dan Tierney. Ya Xhaka sekali lagi dalam senarai.