Sumbangan besar Muhammad Dharma Raj Abdullah terhadap pembangunan hoki di Indonesia menyaksikan beliau telah ditawarkan untuk menjadi warganegara Indonesia.

Perkembangan terkini mengenai Pengarah Teknikal Hoki Indonesia itu disahkan menurut sumber laporan New Strait Times.

Tawaran itu diberikan kepada Dharma Raj untuk membolehkan beliau meneruskan usaha dalam mengembangkan lagi sukan hoki lelaki dan wanita di republik tersebut.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dharma mengakui perlu memikirkan sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan berat itu.

“Melepaskan kewarganegaraan Malaysia adalah satu perkara yang perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti kerana sekiranya saya memilih untuk menjadi warganegara Indonesia, saya perlu melepaskan kerakyatan Malaysia saya.’’

“Saya sudah memaklumkan kepada keluaega mengenai tawaran ini tetapi isteri dan anak-anak saya tidak bersetuju untuk menjadi warganegara Indonesia.’’

“Mereka mahu terus menjadi rakyat Malaysia kerana jarak antara Malaysia dan Indonesia hanya dua jam penerbangan.’’

Kejayaan skuad hoki dalam dewan lelaki Indonesia menewaskan Malaysia pada aksi final Sukan SEA 2023 tempoh hari jelas melonjakkan lagi nama Dharma.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan kejutan itu akan merintis kepada perkembangan lebih pesat dalam kancah hoki di negara jiran itu.

Dharma memilih untuk berhijrah ke Indonesia selepas kontraknya bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berakhir pada Disember 2019.

Beliau pada mulanya bertindak selaku Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat selama 10 bulan dan kemudiannya menyertai skuad kebangsaan Indonesia pada 24 Mei 2021.