Pemain import Pahang FA, Mohamadou Sumareh dikatakan akan dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung pada bulan November 2018 nanti.

Sumareh yang kini memegang taraf kewarganegaraan Malaysia, dilihat sebagai satu ‘option’ baharu kepada ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe untuk mempertimbangkan kemasukkan beliau dalam perancangan di pentas Piala AFF Suzuki 2018 itu nanti.

Beliau yang dihubungi memberitahu, bersedia untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia sekiranya dipanggil oleh pihak kejurulatihan pada bila-bila masa.

Namun semuanya terpulang kepada pihak pengurusan FAM untuk menentukannya dan beliau hanya akan menunggu panggilan dari mereka sekiranya peluang untuk beraksi bersama skuiad Harimau Malaya diberikan.

sumareh harimau malaya

Sumareh juga mengesahkan bahawa beliau sudah menerima pasport serta kad pengenalan warga Malaysia bagi membolehkan beliau beraksi dengan pasukan Malaysia serta didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam liga.

Apabila ditanya mengenai status beliau dalam unifi Liga Super 2018, setakat ini Sumareh akan terus didaftarkan sebagai pemain import sehingga tamat musim 2018.

Perbincangan mengenai pendaftaran beliau sebagai pemain tempatan sudah pun diadakan dan masih belum mencapai sebarang kata putus dari mana-mana pihak sehingga kini. Berkemungkinan besar Sumareh hanya akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bermula pada musim 2019 nanti.