Pelbagai kesukaran yang dialami sebelum ini tidak langsung melemahkan semangat juang skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Perak untuk terus fokus melakukan persiapan dalam misi bagi meraih pingat emas buat kali keempat berturut-turut.

Dibatalkan penyertaan dalam kempen Piala Presiden musim ini ekoran larangan pendaftaran pemain baharu selepas masalah tunggakan gaji melanda kem Perak, nasib anak buah Mohd Shahril Nizam Khalil jelas berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Shahril Nizam Khalil dan pembantunya, Shahrulnizam Mustapa (tengah) berbincang sesuatu bersama Pengarah MSN Perak, Tuan Haji Mazlan Mohamad. Kredit Foto: Perak Football Club

Namun, keprihatinan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dalam mengambil alih pasukan ini dengan memberikan elaun latihan dan tumpuan khusus persiapan menjelang SUKMA 2022 di Lembah Klang telah memberikan sinar harapan buat mereka.

Apatah lagi mereka berdepan tugas sukar untuk mengekalkan kejuaraan dimana ‘ubi’ muda Perak telah memenangi acara bola sepak pada edisi 2014 di Perlis, 2016 [Sarawak] dan 2018 ketika menjadi tuan rumah.

Selepas awan mendung berlalu, skuad muda Perak kini tidak menoleh ke belakang lagi dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi SUKMA yang akan diadakan bermula 16 hingga 24 September ini.

Meskipun kekurangan aksi kompetitif tidak seperti negeri lain yang mana semua pasukan menghadapi saingan Piala Presiden, sudah hampir 10 perlawanan persahabatan setakat ini telah dihadapi.

Dua perlawanan menemukan mereka dengan pasukan dalam kempen Liga Premier iaitu Perak dan Skuad Projek FAM-MSN. Menentang pasukan ‘abang’ yang lebih berpengalaman luas, mereka tumpas 0-1 manakala berjaya meraih kemenangan kemenangan ke atas Skuad Projek FAM-MSN 1-0 di Bukit Jalil.

Aksi persahabatan Skuad SUKMA Perak bertemu AMD B-17 B di Ipoh, semalam. Kredit Foto: Perak Football Club

Selain itu, Perak turut berhadapan dengan pasukan Piala Presiden Penang (seri 0-0), Piala Presiden PJ City FC (menang 3-0) serta menewaskan USM FC 2-0 dan selebihnya menentang pasukan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

Yang terbaharu, skuad Perak melayani kunjungan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 B dimana aksi berkesudahan seri tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Padang PCRC, Ipoh petang semalam.

Selain Shahril Nizam dan Shahrulnizam, barisan kejurulatihan skuad SUKMA Perak turut terdiri daripada Syazwan Mohd Nor sebagai pembantu jurulatih dan Mohd Sany Fahmy selaku jurulatih penjaga gol.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Dicadangkan Ambil Ronaldo Pulang Ke Real Madrid, Perez Cuma Tergelak

Benjamin Mora Calon Jurulatih Baharu Persib Bandung Dan Lion City Sailors?

Kim Pan-Gon Mahu Perkemaskan Lagi Corak Permainan Harimau Malaya