Ketua jurulatih skuad Indonesia bawah 23 tahun (B-23), Shin Tae-yong meluahkan rasa tidak puas hati dengan keadaan padang latihan yang disediakan oleh tuan rumah Sukan SEA 2021, Vietnam.

Skuad Garuda Muda itu dijadualkan menentang Vietnam untuk perlawanan pertama kumpulan A pada pukul 8 malam ini. Namun, persiapan mereka terganggu apabila terpaksa berlatih di atas permukaan padang yang berlubang dan berpasir.

Malah, tuan rumah juga didakwa sengaja menyediakan tempat latihan yang jauhnya 18 kilometer (km) dari venue pertandingan.

Menurut Shin Tae-yong kualiti rumput di padang latihan tersebut tidak sesuai untuk bola sepak moden dan mampu mendatangkan kecederaan kepada para pemainnya.

“Pertandingan antarabangsa diberikan padang latihan seperti ini. Terlalu parah walaupun mereka tuan rumah. Bukan ke lebih adil kalau setiap pasukan diberikan padang latihan yang baik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan padang latihan itu seperti standard padang sekolah rendah yang kualitinya sangat tak sesuai untuk para pemain profesional.

“Selama 30 tahun saya bermain bola sepak sejak kecil dan telah menyertai banyak pertandingan tempatan serta antarabangsa, ini kali pertama saya mendapat kualiti padang yang menyamai standard padang sekolah rendah menjelang perlawanan rasmi.

“Tidak tahu apakah ini sengaja atau tidak perkara seperti ini diberikan kepada Indonesia. Dan kami bingung mendapat masalah seperti ini dan kami sangat kecewa,” katanya.

Bukan sahaja Shin Tae-yong, pemain sayap Sabah, Saddil Ramdani turut tidak puas hati dengan padang latihan yang dilihat lebih banyak berpasir serta berlubang.

“Ketika latihan , padang yang saya rasa tidak bagus. Banyak lubang dan berpasir. Namun ini bukan alasan untuk lawan Vietnam yang menjadi perlawanan penting. Kami akan terus berjuang dan bekerja keras demi meraih kemenangan,” jelas Saddil.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Penyokong Vietnam ‘Bermalam’ Di Depan Kaunter Buru Tiket Perlawanan Bola Sepak Sukan SEA

ACL 2022: Chanathip Terkilan Kawasaki Frontale Gagal Lepasi Peringkat Kumpulan

Jurulatih Ulsan Hyundai Salahkan Penjaga Gol Sebagai Punca Tewas Kepada JDT