Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney untuk membawa cabaran negara bagi acara Bola Sepak Lelaki pada Sukan SEA 2021 di Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022 yang mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos.

Daripada 24 pemain yang dibawa ke Hanoi, 4 pemain telah digugurkan iaitu penjaga gol tinggi lampai dari Terengganu, Rahadiazli Rahalim, pemain Selangor, Fahmi Daniel serta dua pemain JDT II, Umar Hakeem dan Shafi Azswad.

Mereka akan terus kekal berada di Vietnam sebagai Senarai Bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif COVID-19 di sepanjang saingan Sukan SEA 2021 berlangsung.

Dalam senarai 20 pemain yang dipilih, lima daripadanya merupakan anggota skuad B-22 kebangsaan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina iaitu Quentin Cheng, Harith Haiqal Adam Afkar, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Menurut Maloney, beliau menyifatkan keputusan untuk memilih senarai akhir 20 pemain ini cukup sukar buat dirinya kerana beliau berpuas hati dengan setiap komitmen diberikan barisan pemain sepanjang menyertai kem latihan pusat pasukan B-23 kebangsaan ini.

Bagaimanapun, beliau terpaksa memilih 20 pemain disebabkan peraturan bagi acara Bola Sepak Lelaki pada Sukan SEA 2021 ini hanya membenarkan maksimum 20 pemain sahaja.

“Satu keputusan yang sukar kerana kesemua pemain telah memberikan komitmen tinggi sepanjang kami bersama dalam sesi latihan dan saya cukup berpuas hati kerana kesemua pemain memberikan kerjasama yang cukup baik.

“Ia bukan mudah untuk saya tetapi saya harus membuat keputusan kerana peraturan hanya membenarkan 20 pemain sahaja didaftarkan,” kata Maloney.

Bagi Kumpulan B, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada Sabtu, 7 Mei 2022, jam 8.00 malam (waktu Malaysia), Laos pada Rabu, 11 Mei 2022, jam 8.00 malam (waktu Malaysia), Singapura pada Sabtu, 14 Mei 2022, jam 5.00 petang (waktu Malaysia) dan Kemboja pada Isnin, 16 Mei 2022, jam 5.00 petang (waktu Malaysia), dengan kesemua perlawanan peringkat kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke separuh akhir pada Khamis, 19 Mei 2022 di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan Final dijadual berlangsung pada Ahad, 22 Mei 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Luqman Hakim Bakal Sertai Kem Latihan Skuad B-23 Tahun Negara Pada Sabtu

Skuad Bawah 17 Tahun Malaysia Berpeluang Jalani Latihan Di Akademi Juventus

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya