Sudah menjadi kebiasaan bagi tuan rumah Sukan SEA untuk memasukkan sukan rakyat dan sukan tradisi dalam temasya dwitahunan itu sekali gus memberikan kelebihan buat negara tersebut.

Difahamkan, tuan rumah boleh menyenaraikan sukan rakyat atau tradisi sekiranya terdapat sekurang-kurangnya empat negara yang bersetuju untuk mengambil bahagian.

Sehubungan dengan itu, terdapat sukan yang kedengaran pelik bagi peminat sukan terutamanya di Malaysia telah dipertandingkan.

Dapat dilihat ketika edisi 2023 di Kemboja tempoh hari, terdapat beberapa sukan seperti arnis, catur ouk chaktrang, kenpo, kun bukator, kun khmer, kurash, hoki dalam air, renang sirip dan vovinam telah tersenarai.

Hanya mengambil kira acara Kum Khmer dan Vovinam, Kemboja berjaya mendapatkan 24 pingat emas keseluruhan daripada dua acara tersebut.

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) telah melakukan pindaan terhadap piagam mereka supaya penganjuran sukan rakyat atau tradisi itu dikurangkan.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menurut sumber laporan yang dikeluarkan Bernama.

Sebaliknya, pemilihan sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia lebih menjadi keutamaan selepas ini.

“Piagam itu telah diubah pada 4 Mei, harapnya selepas ini tiada lagi perkara yang berlaku dalam edisi terdahulu.”

“Kategori sukan untuk tuan rumah pilih telah dikurangkan.Kami akan fokus pada (sukan yang dipertandingkan dalam temasya) Olimpik dan Sukan Asia.”

 

Sumber