Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Dendam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) terhadap Laos B-23 akhirnya terbalas apabila mereka menewaskan pasukan itu, 3-1 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan dalam saingan Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Malaysia bermula dengan garang dan kerap kali memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan. Pada minit ke 36, Luqman Hakim berjaya menjaringkan gol pertama hasil rembatan dalam kotak penalti selepas mengelecek pemain pertahanan Laos.

Jaringan tersebut turut menaikkan semangat rakan sepasukannya untuk terus mengandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Syahir Bashah menambah gol kedua menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Laos pada minit ke 43.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Laos jelas kelihatan sangat letih kerana menghadapi jadual perlawanan cukup padat selang sehari berbanding Malaysia yang mempunyai waktu rehat selama 3 hari.

Di separuh masa kedua, Ketua jurulatih, Brad Maloney melakukan pertukaran dengan memasukkan Hadi Fayyadh bagi menggantikan tempat Danial Asri.

Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Hadi dimanfaatkan sepenuhnya apabila beliau menanduk bola ke belakang lalu disudahkan oleh Luqman Hakim untuk gol ketiga negara pada minit ke 67.

FOTO: FAM

Biarpun perlawanan tersebut didominasi oleh skuad negara namun Laos sempat menghukum kelekaan benteng pertahanan Malaysia pada minit ke 84 menerusi rembatan lencong Visith di dalam kotak penalti.

Skuad negara juga berpeluang menambah gol keempat namun rembatan Hadi Fayyadh tersasar biarpun penjaga gol Laos sudah tertewas.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan Malaysia menghuni kedudukan teratas dalam kumpulan B selepas mengutip 6 mata dalam dua perlawanan yang diharungi.

Ini kemenangan kedua skuad negara ke atas Laos dalam 4 pertemuan terakhir. Malaysia pernah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas lawan itu pada aksi Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober tahun lepas.

Selepas bertemu Laos, anak buah Brad Maloney akan menamatkan baki saingan kumpulan menentang Singapura pada 14 Mei dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong dalam misi memburu dua slot ke peringkat separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group