Temasya Sukan SEA ke-32 secara rasmi melabuhkan tirainya pada upacara penutup yang berlangsung dengan cukup meriah sambil disaksikan oleh puluhan ribu penonton di Stadium Morodok Techo semalam.

Obor kejohanan kemudiannya dipadamkan dan bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA Ke-32 diturunkan, sebelum diserahkan kepada tuan rumah Sukan SEA Ke-33 iaitu Thailand.

Thailand akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh dari 9 hingga 20 November 2025 dengan kemungkinan 43 jenis sukan akan dipertandingkan nanti.

Edisi kali ini menyaksikan Vietnam dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa.

Malaysia mengakhiri saingan Sukan SEA 2023 di tempat ketujuh menerusi pungutan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa sekaligus gagal mencapai sasaran 40 pingat emas seperti diumumkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ia adalah pencapaian terburuk negara sejak mengutip keseluruhan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Lebih memalukan, Malaysia berada di bawah Singapura yang sudah raih 51 pingat emas dengan sebahagian besar pingat mereka hadir menerusi sukan renang.

Sukan popular yang menjadi kekuatan Malaysia seperti Sepak Takraw dan Badminton juga gagal membawa pulang pingat emas apabila mereka tewas dalam semua acara.

Situasi itu mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan peminat sukan tempatan yang berpendapat kualiti atlet Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina sudah jauh meninggalkan Malaysia.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Sea 2023 Datuk Mohd Nasir Ali mengakui bahawa pandangan peminat sukan tanah air dan pihak tertentu pastinya melihat pencapaian Malaysia di temasya dwitahunan itu sebagai satu kegagalan.

“Pada saya pingat yang kita ada dan kedudukan jatuh sikit disebabkan Kemboja naik ke kedudukan keempat dan sepatutnya Malaysia kekal.

“Ini (kegagalan dan terburuk) adalah pandangan orang namun perlu lihat kita ke Sukan SEA di Hanoi sebelum itu dua tahun setengah tiada sebarang latihan untuk atlet kerana Covid-19.

“Kita kena lihat di Hanoi dapat 39 manakala di Kemboja pula 34 dan itu tak banyak beza. Cuma perlu memperincikan selain perlu melihat faktor yang menyebabkan atlet negara kurang menyerlah,” katanya.