Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara berdepan laluan berliku dalam usaha memburu slot final Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas telah diundi dalam kumpulan sukar.

Hal ini kerana skuad negara yang dibimbing E. Elavarasan bakal berada dalam kumpulan B bersama-sama juara 16 kali, Thailand dan juara bertahan, Vietnam.

Dua lagi pasukan yang turut berada dalam kumpulan sama ialah Singapura dan Laos.

Perkembangan terkini mengenai keputusan undian bagi edisi ke-32 itu disahkan menerusi laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bukan mahu memperkecilkan keupayaan para pemain negara yang baharu sahaja bergelar juara Piala Merlion 2023 tetapi seperti diketahui, kualiti dimiliki Thailand dan Vietnam mampu untuk memberikan masalah buat Malaysia.

Apatah lagi kedua-dua negara layak ke pentas final edisi lalu di Hanoi meskipun Malaysia yang ketika itu dibimbing Brad Maloney berjaya menundukkan Thailand pada peringkat kumpulan.

Namun semua itu sudah berlalu dan besar harapan semua pihak terutamanya penyokong bola sepak tanah air mahu melihat keputusan lebih positif dicatatkan pemain muda negara.

Acara bola sepak Sukan SEA 2023 juga telah menyaksikan perubahan dengan menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan serantau tersebut.

Elavarasan sebelum ini melaungkan keyakinan untuk membawa skuad negara layak ke perlawanan akhir.

“Pada Sukan SEA yang lalu kita layak sehingga ke separuh akhir dan menamatkan kedudukan di tempat keempat. Jadi sudah tentu dengan wajah [pemain] dan barisan kejurulatihan baharu jadi harapannya lebih tinggi dan kami kami melakukan yang lebih baik daripada tahun lalu.”

“Jadi, saya merasakan layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting bagi kami. Pemain dan jurulatih juga sangat bermotivasi untuk mencapainya.”

Sementara itu pasukan wanita pula diundi dalam kumpulan A untuk bersama-sama Vietnam, Indonesia, Filipina dan Myanmar.