Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E. Elavarasan meletakkan sasaran mahu layak ke perlawanan akhir pada temasya Sukan SEA 2023 yang akan berlangsung di Kemboja pada bulan Mei ini.

Ia sekali gus mahu memperbaiki kedudukan keempat yang diraih skuad muda negara pada aksi di Vietnam,, tahun lalu dimana Malaysia tunduk kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perebutan pingat gangsa.

Difahamkan, peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 telah menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan serantau tersebut.

Peraturan tersebut pastinya akan memberikan ruang kepada ramai pemain muda lain untuk diberikan peluang membarisi skuad negara pada edisi kali ini.

“Pada ketika kita memberikan fokus kepada menghadapi Sukan SEA. Persediaan kita dilaksanakan pada setiap bulan dimana fasa pertama bermula pada November tahun lalu.”

“Fasa latihan pertama mengambil masa selama sembilan hari, fasa kedua juga baharu sahaja berakhir sehari lepas ia diadakan pada 14 hingga 19 Februari.”

“Jadi pada kedua-dua fasa, kami telah mengadakan masing-masing satu perlawanan persahabatan dengan dua set pemain yang berbeza,”

“Ini merupakan skuad baharu kerana kami tidak memanggil barisan pemain utama yang bermain dalam saingan Liga Super [merujuk kepada Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal dan beberapa pemain lagi].”

“Pada Sukan SEA yang lalu kita layak sehingga ke separuh akhir dan menamatkan kedudukan di tempat keempat. Jadi sudah tentu dengan wajah [pemain] dan barisan kejurulatihan baharu jadi harapannya lebih tinggi dan kami kami melakukan yang lebih baik daripada tahun lalu.”

“Jadi, saya merasakan layak ke perlawanan akhir adalah sangat penting bagi kami. Pemain dan jurulatih juga sangat bermotivasi untuk mencapainya.”