Skuad futsal wanita negara memastikan tidak pulang dari Hanoi dengan tangan kosong apabila berjaya meraih pingat gangsa Sukan SEA 2021 selepas terikat 3-3 pada aksi terakhir bertemu Myanmar di Stadium Tertutup Ha Nam, sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup buat skuad kendalian Jamhuri Zainuddin untuk memiliki kelebihan jaringan berbanding lawan tersebut sekali gus mengulangi pencapaian sama yang diraih skuad negara ketika edisi 2013.

Lebih manis untuk diperkatakan, skuad negara mempamerkan semangat juang tinggi dimana mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol dimana menepis pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap pasukan ini.

Ketua pasukan, Intan Sarah Anisah Zulgafli tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas tolakannya selepas menerima lorongan Nur Syafiqah Zainal Abidin pada minit kedua berjaya menewaskan penjaga gol Myanmar, Nwe Nwe Soe.

Kredit Foto: FAM

Tersentak dengan jaringan awal itu, Myanmar kembali memperkemaskan aksi dan berjaya menyamakan kedudukan berselang tujuh minit kemudian menerusi May Thet Paing yang memintas hantaran cuba dilakukan Hanani Adriana lalu melepaskan rembatan membolosi gawang skuad negara.

Myanmar kemudiannya membuatkan skuad negara tambah tertekan apabila menambah dua lagi jaringan bagi mengukuhkan kedudukan susulan situasi bola mati menerusi Nant May Thazin dan Yun Me Me Lwin.

Mendapat tonik berguna di bilik persalinan, pemain negara tampil dengan lebih baik dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila Intan Sarah meledakkan rembatan luar kawasan D untuk merapatkan defisit gol.

Ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Siti Asnidah Zamri muncul wira skuad negara selepas kuisan dilakukan hasil hantaran Nur Shazreen Munazli berjaya memperdayakan Nwe Seo untuk kedudukan terikat 3-3.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan satu pingat gangsa buat skuad futsal wanita negara.