Malaysia memulakan kempen Sukan SEA 2021 dengan nota kemenangan selepas berjaya menumpaskan pasukan pilihan, Thailand 2-1 pada aksi sulung yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Hanoi sebentar tadi.

Berdepan lawan yang memegang rekod selaku pemenang terbanyak saingan Sukan SEA, skuad negara dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi cemerlang terutamanya pada separuh masa pertama.

Ia jelas dibuktikan selepas anak buah Mano Polking itu mendapat dua peluang terbaik pada awal permainan. Bagaimanapun, tandukan Patrick Gustavsson pada minit kesembilan sedikit tersasar.

Berselang seminit kemudian, giliran rembatan jarak dekat daripada Ekanit Panya pula dinafikan Azri Ghani di gawangnya.

Gustavsson meletakkan Thailand di hadapan ketika permainan memasuki minit ke-33 apabila penyerang tersebut berjaya melepasi kawalan dua pertahanan skuad negara dan kemudiannya menewaskan Azri Ghani.

Kredit Foto: FAM

Pemain kacukan Thailand-Sweden itu hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-38 tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti diselamatkan dengan baik penjaga gol kelahiran Kelantan tersebut.

Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah susulan kekasaran dilakukannya terhadap Syahir Bashah pada minit ke-41.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya barisan pemain negara untuk tampil lebih tersusun pada separuh masa kedua dengan memiliki beberapa peluang menjaringkan gol.

Gol yang dinantikan menjelma pada minit ke-61 apabila Ahmad Danial Ahmad Asri menggunakan pehanya untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi bagi kembali mengikat kedudukan.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain skuad negara dan mereka hampir menambah dua jaringan tetapi rembatan Safwan Mazlan dalam kawasan penalti dan tandukan bebas Hadi Fayyadh melewati palang gol.

Azfar Fikri Azhar akhirnya muncul wira buat skuad negara apabila rembatannya ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol berjaya membolosi gawang Thailand yang dikawal Kawin Thammasatchanan untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat Malaysia.