Pengurus skuad B-23 tahun Thailand, Nualphan Lamsam atau yang lebih dikenali sebagai Madam Pang berjanji akan memberikan bonus kepada pasukannya sekiranya memenangi pingat emas Sukan SEA 2021.

Menurut laporan Bangkok Post, Nualphan bersedia untuk memberikan bonus sebesar 5 Juta Baht atau sekitar RM635 Ribu kepada pemain sekiranya memenangi pingat emas.

Madam Pang
Sumber Gambar: Changsuek

“Saya tahu semua orang yang datang ke sini mahu beraksi untuk mengharumkan nama negara dan saya juga sedar pengorbanan setiap pemain untuk beraksi di kejohanan ini.

“Jadi untuk memberikan motivasi kepada pemain, saya bersedia untuk memberikan bonus sebesar 5 Juta Baht untuk meningkatkan lagi usaha memenangi pingat emas.

“Jumlah ini akan menjadi tambahan daripada insentif yang bakal diberikan oleh Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT) sekiranya mereka memenangi pingat emas Sukan SEA.

“Kejohanan kali ini bukan mudah untuk kami kerana pasukan lain mempunyai masa yang lebih untuk mempersiapkan diri. Namun, saya dan ketua jurulatih, Alexandre Polking percaya barisan pemain kali ini mampu untuk mencapai kejayaan.

“Saya juga berharap peminat akan sentiasa menyokong kami dan saya beri jaminan semua orang akan memberikan yang terbaik untuk membawa kegembiraan kepada rakyat Thailand dengan memenangi pingat emas,” kata Madam Pang.

Thailand tewas pada perlawanan pembukaan kumpulan B kepada Malaysia yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Thien Truong.

Gustavsson meletakkan Thailand di hadapan ketika permainan memasuki minit ke-33 apabila penyerang tersebut berjaya melepasi kawalan dua pertahanan skuad negara dan kemudiannya menewaskan Azri Abdul Ghani.

Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah susulan kekasaran dilakukannya terhadap Syahir Bashah pada minit ke-41.

Danial Asri menggunakan pehanya untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi bagi kembali mengikat kedudukan.

Azfar Fikri Azhar akhirnya muncul wira buat skuad negara apabila rembatannya ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol berjaya membolosi gawang Thailand yang dikawal Kawin Thammasatchanan untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Azam Azmi Murad Tidak Alami Kecederaan Serius

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

Negeri Sembilan Kini Pendahulu Liga Super Dengan Rekod Tanpa Kalah