Skuad futsal lelaki negara mempamerkan kebangkitan hebat di aksi terakhir Sukan SEA 2021 untuk mengikat Myanmar 4-4 yang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Ha Nam, Vietnam sebentar tadi.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak mampu menghalang skuad negara untuk menamatkan saingan di tempat terakhir kerana Myanmar yang turut mengumpul satu mata memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Skuad kendalian itu Chiew Chun Yong itu sebelum ini tewas 2-6 kepada Thailand, 1-7 bertemu Vietnam dan 0-3 ketika bertemu Indonesia. Satu keadaan yang jelas mendapat kritikan hebat penyokong tanah air.

Tekanan kian memuncak buat skuad negara pada pertemuan menentang Myanmar apabila mereka ketinggalan 0-4 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan Thyne Phwet Aung serta masing-masing satu gol dihasilkan oleh Myo Thet Aung dan Myo Myint Soe.

Tersentak dengan keputusan tersebut, skuad negara tampil lebih baik pada separuh masa kedua dengan memberikan tekanan hebat buat pasukan yang dikendalikan jurulatih dari Thailand, Bunlert Charoenwong.

Kredit Foto: Myanmar Football Association

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-25 apabila ledakan Muhammad Ekmal Shahrin tidak mampu ditangkap kemas penjaga gol Myanmar, Zwe Pyae Sone untuk merapatkan defisit jaringan.

Berselang lima minit kemudian giliran Muhammad Azri Rahman menolak mudah menyempurnakan peluang hasil hantaran baik dilakukan Muhammad Firdaus Zulkefli susulan situasi bola mati untuk terus memberikan tekanan kepada lawan.

Malaysia berjaya mendapatkan gol ketiga pada minit ke-38 selepas Ekmal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan ekoran kekasaran dilakukan terhadap Khairul Effendy Bahrin.

Taktikal ‘powerplay’ yang digunakan Chun Yong nyata berjalan seperti diharapkan selepas Khairul Effendy menyudahkan peluang terhidang susulan percubaan awal dilakukan Abu Haniffa Hassan untuk kembali menyamakan kedudukan.

Terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh Chun Yong dan barisan kejurulatihannya berikutan keputusan hambar ditampilkan skuad negara yang nyata cukup gagal dalam Kejuaraan Futsal AFF dan Sukan SEA.