Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Jaringan Weerathep Pomphun pada masa tambahan memastikan Thailand menempah slot perlawanan akhir Sukan SEA 2021 selepas berjaya mengecewakan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh sebentar tadi.

Kemaraan ke final itu juga menebus kehampaan Thailand yang tewas 0-2 bertemu lawan sama pada edisi 2019 di Filipina sekali gus gagal untuk melepasi peringkat kumpulan.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah buat skuad kendalian Mano Polking tersebut apabila Indonesia dilihat lebih mencipta peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada 90 minit permainan.

Bagaimanapun, Kawin Thamsatchanan jelas lebih tangkas di gawangnya dalam menafikan beberapa percubaan berbahaya terutamanya menerusi tandukan Marc Anthony Klok dan juga sepakan percuma daripada Syahrian Abimanyu pada lewat permainan.

Kawin Thamsatchanan cemerlang di gawanganya. Kredit foto: Changsuek

Ketumpulan jentera penyudah jelas menghantui kedua-dua pasukan meskipun Mano Polking dan Shin Tae-yong memasukkan tenaga baharu mereka untuk memburu jaringan menyebabkan pemenang terpaksa diheret ke masa tambahan.

Ketika permainan memasuki minit ke-95, Weerathep melakukan ‘turning’ cantik setelah menerima hantaran Benjamin James Davies dalam kawasan penalti sekali gus berjaya memperdayakan pertahanan Indonesia untuk mendapat ruang terbaik untuk melakukan percubaan.

Rembatan padu yang diledakkan tonggak yang didaftarkan sebagai pemain lebih umur itu jelas menjadi masalah buat penjaga gol, Ernando Ari Sutaryadi bagi menghadiahkan jaringan kemenangan Thailand.

Aksi lewat permainan bagaimanapun dicemari dengan pergaduhan pemain sehingga menyebabkan Firza Andika, Rachmat Irianto, Ricky Kambuaya dan seorang pemain Thailand dilayangkan kad merah.

Dengan kemenangan tersebut, Thailand kini sedang mengintai peluang untuk meraih kejuaraan ke-17 Sukan SEA dan bakal menanti pemenang antara Vietnam dan Malaysia yang akan berentap sebentar nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Sukan SEA 2021 melalui pautan dibawah.

Park Hang Seo Tidak Tidur Malam Kaji Taktikal Skuad Malaysia B-23

Sukan SEA: Maloney Mahu Pemain Tamatkan Perjuangan Vietnam Dalam Tempoh 90 Minit

Sukan SEA: Park Hang-seo Pergi Memancing Sebelum Bertemu Malaysia

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group