Tugas berat sedang menanti skuad bawah 22 tahun negara (B-22) apabila mereka bakal berdepan tuan rumah, Filipina pada perlawanan kedua peringkat kumpulan acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal esok.

Malah, pengendali pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan beberapa pemain dilanda kecederaan namun tidak bimbang kerana yakin mereka dapat diturunkan.

Antara pemain yang dikatakan termasuk dalam senarai kecederaan ialah Adam Nor Azlin, Syamer Kutty, Dominic Tan dan Akhyar Rashid.

“Ada beberapa pemain yang cedera.

“Bukan Adam Nor Azlin sahaja tetapi ketika ini mereka dalam keadaan yang cukup baik.

“Mereka berlatih dengan baik dan saya harap mereka dapat mengharungi perlawanan esok tanpa kesakitan,” kata jurulatih itu dalam Stadium Astro.

78044841_2531761986920550_1703082746227720192_o
FOTO: FAM

Selepas terikat 1-1 dengan Myanmar pada perlawanan pembukaan, skuad negara perlu memburu tiga mata penuh untuk menghidupkan peluang beraksi di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak buahnya memandang mudah pada cabaran Filipina walaupun lawannya itu tewas 1-2 kepada Myanmar kelmarin.

“Filipina bukan pasukan yang mudah untuk kita bermain nanti, saya percaya Myanmar juga menghadapi situasi yang sama, mereka hanya mendapat gol kemenangan pada minit ke-79. Jadi kita harus berwaspada di sini, mereka hanya tewas dan seri sekali dan berada dalam keadaan yang tidak lagi boleh kehilangan mata.

“Mereka sudah pasti akan memberikan kita satu saingan yang cukup sengit. Kita perlu main dengan cara kita, pada masa yang sama harus tidak ghairah dan mengawal keadaan seberapa lama yang boleh untuk memastikan gawang kita tidak boleh dibolosi.

“Jika itu yang berlaku, dah tentu peluang kita amat cerah untuk kita dapatkan mata penuh pada esok, mata yang penting untuk kita juga,” jelasnya kepada pemberita.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam kumpulan A, Kemboja kini menghuni kedudukan teratas selepas membelasah Timor Leste, 5-0 pada perlawanan kedua. Mereka terikat 4 mata yang sama dengan Myanmar tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir yang diadakan pada bulan depan.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan terkini acara bola sepak Sukan SEA 2019 di Filipina.

PSSI Bantah Pemain Muslim Indonesia Makan Babi di SEA Games 2019

Ketua Pasukan Brunei Dimasukkan Ke Hospital Kerana Alahan Terhadap Kacang

Akira Nishino Akui Indonesia Tampil Lebih Baik Dari Thailand