Hasrat Indonesia untuk meraih pingat emas acara bola sepak lelaki di temasya Sukan SEA 2019 semakin menjadi kenyataan apabila mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Myanmar, 4-2 di Stadium Memorial Rizal sebentar tadi.

Bagaimanapun, kemaraan skuad kendalian Indra Sjafri itu tidak begitu mudah kerana mereka dipaksa bermain pada masa tambahan selepas terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Kebangkitan skuad garuda muda bermula pada separuh masa kedua apabila bekas pemain import Selangor, Evan Dimas menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 58 selepas menyempurnakan hantaran cantik Egy Maulana Vikri dari sebelah kanan.

Jaringan tersebut turut membangkitkan semangat Indonesia untuk terus mengandakan asakan dan kali ini giliran Egy Maulana Vikri menanduk masuk bola sepak percuma yang diambil oleh Bagas Adi lalu menjadikan kedudukan kepada 2-0.

Dua jaringan itu langsung tidak mematahkan semangat skuad kendalian Veliza Popov untuk terus mencari jaringan penyamaan. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mencuri 2 gol pada minit ke 79 dan 80 dengan mengambil kesempatan terhadap kelekaan benteng pertahanan Indonesia.

Enggan membiarkan kesilapan sama berulang, skuad garuda muda bangkit mempamerkan corak permainan yang lebih kemas pada masa tambahan dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan Myanmar.

Beberapa minit kemudian, Stadium Memorial Rizal kembali bergema dengan sorakan ratusan penyokong Indonesia apabila Osvaldo Haay memanfaatkan peluang keemasan dengan menyudahkan hantaran leret dari sebelah kanan.

Myanmar cuba bangkit namun mereka dilihat sudah mula keletihan dan Evan Dimas mengambil kesempatan itu untuk menjadikan kedudukan kepada 4-2 dengan merembat masuk hantaran cantik daripada Sani Rizki.

Dengan kemenangan ini, mereka akan bertemu sama ada Vietnam atau Kemboja di perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Theerathon Bunmathan Cipta Rekod Pemain ASEAN Pertama Julang Kejuaraan J1 League 2019

Shin Tae-Yong Tolak Tawaran Bimbing Skuad Kebangsaan Indonesia

Nguyen Quang Hai Telah Beraksi Dalam 125 Perlawanan Dalam Tempoh 2 Tahun, Catat Lebih 10,000 Minit Masa Bermain