Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23), Datuk Ong Kim Swee percaya dengan kemampuan pemain yang bakal dipilih olehnya untuk membawa cabaran negara dalam temasya Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina pada bulan depan.

Pengendali yang berusia 48 tahun itu menyasarkan untuk membawa skuad negara mara ke perlawanan akhir dan menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi oleh Malaysia ialah pada tahun 2011.

Beliau juga sudah ada gambaran barisan terbaik negara kerana pemain yang dipilih ini mempunyai kualiti tersendiri berdasarkan prestasi mereka bersama kelab masing-masing.

“Apa yang boleh saya katakan, inilah barisan terbaik kita. Walaupun saya belum memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan beraksi di Filipina nanti tetapi saya percaya dengan kemampuan mereka.

“Dari sudut positifnya, majoriti pemain terbabit telah bersama-sama dalam satu pasukan sejak dua tahun lepas. Kebanyakan daripada mereka telah beraksi dalam (kempen kelayakan) Kejuaraan AFC 2017,” katanya kepada Sinar Harian.

undian sukan sea 19-01
Grafik keputusan undian bola sepak lelaki Sukan SEA 2019

Kem latihan pusat akan bermula pada 4 November dan mereka dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November. Senarai awal 40 pemain untuk skuad Sukan SEA 2019 di Filipina sudah pun dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Daripada 40 pemain tersebut, beliau telah menyenaraikan 8 pemain senior kerana format pertandingan membenarkan setiap negara mempunyai dua pemain yang melebihi umur 23 tahun.

Malah, peminat bola sepak tempatan mungkin akan menyaksikan kelibat bintang dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal beraksi bersama skuad negara buat kali pertama apabila pemain tersebut bakal dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Filipina bulan depan.

Perkembangan itu disahkan oleh Ong Kim Swee dalam temu bual bersama Sinar Harian sebelum ini. Bagaimanapun, Kim Swee memberitahu, beberapa proses perlu diuruskan sebelum membawanya pulang ke Malaysia.

“Saya percaya para pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA kali ini mampu membawa pulang pingat. Namun, saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka dengan meletakkan sasaran warna pingat.

“Siapa yang tidak mahu menang emas? Sudah pasti bukan saja saya, malah para pemain juga mahukan emas. Cuma saya harapkan mereka lebih bersedia kali ini dan beraksi tanpa sebarang tekanan.

“Para pemain juga diingatkan agar bermain pada tahap paling baik dalam saingan peringkat kumpulan sebelum mereka memikirkan aksi semi final dan final nanti,” ujarnya.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan skuad Sukan SEA melalui pautan dibawah.

Wan Kuzain Bakal Berganding Dengan Luqman Hakim Dan Safawi Rasid?

Skuad Malaysia B-23 Diletakkan Dalam Kategori A Untuk Sukan SEA

Ong Kim Swee Daftarkan 8 Pemain Senior Dalam Senarai Awal Skuad Sukan SEA

Sumber