Padang sintetik merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) dalam acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Filipina pada bulan november depan.

Tempoh tiga minggu sepanjang kem latihan pusat perlu dimanfaatkan untuk membiasakan diri beraksi di atas padang sintetik kerana kelajuan bola serta lantunannya tidak sama dengan rumput asli sehingga mampu memberi kesukaran kepada pemain mempamerkan corak permainan sebenar.

Pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee sudah pun meninjau keadaan padang sintetik di lokasi perlawanan iaitu Stadium Memorial Rizal, Manila dan menyifatkan kualiti padang tersebut adalah sama dengan apa yang ada di Malaysia.

Menurut laporan dari Arena Metro, antara tiga lokasi latihan pusat yang dicadangkan untuk skuad Malaysia B-23 sebelum berlepas ke Manila ialah Rhino KV Arena di Shah Alam, padang sintetik Institut Semarak Felda Bangi dan Stadium Tun Abdul Razak di Jengka, Pahang.

“Daripada pengalaman, kami mengambil iktibar terutama perlu berlatih terlebih dulu di padang sintetik di mana kita ada banyak kemudahan seumpama itu di Malaysia. Kami perlu menyesuaikan diri sebelum ke Manila.

“Padang sintetik ini bermacam jenis dan apa yang saya dapati di Manila ia gred yang sangat baik. Saya sudah ke sana tiga minggu lalu untuk melihat sendiri keadaan padang sintetik di sana. Saya dapati keadaannya cukup memuaskan.

“Ketika ini yang terbaik adalah di Rhino Shah Alam yang mempunyai jenis lebih kurang sama selain Stadium Felda di Jengka dan padang latihan Felda di Bangi. Tiga tempat itu antara beberapa padang latihan yang akan kita gunakan,” katanya kepada Arena Metro.

datuk ong kim swee
FOTO: FAM

Pengendali yang berusia 48 tahun itu menyasarkan untuk membawa skuad negara mara ke perlawanan akhir dan menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi oleh Malaysia ialah pada tahun 2011.

Kem latihan pusat akan bermula pada 4 November depan dan mereka dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Manila pada 23 atau 24 November. Senarai awal 40 pemain untuk skuad Sukan SEA 2019 di Filipina sudah pun dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Apa yang boleh saya katakan, inilah barisan terbaik kita. Walaupun saya belum memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan beraksi di Filipina nanti tetapi saya percaya dengan kemampuan mereka.

“Dari sudut positifnya, majoriti pemain terbabit telah bersama-sama dalam satu pasukan sejak dua tahun lepas. Kebanyakan daripada mereka telah beraksi dalam (kempen kelayakan) Kejuaraan AFC 2017,” katanya kepada Sinar Harian.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan skuad Sukan SEA melalui pautan dibawah.

Wan Kuzain Bakal Berganding Dengan Luqman Hakim Dan Safawi Rasid?

Skuad Malaysia B-23 Diletakkan Dalam Kategori A Untuk Sukan SEA

Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Sudah Ada Gambaran Awal Barisan Terbaik Malaysia

Sumber