Hasrat skuad bawah 22 tahun negara (B-22) untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA 2019 tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat 1-1 dengan Myanmar di Stadium Memorial Rizal semalam.

Beraksi di atas rumput tiruan ternyata memberi kesukaran kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mempamerkan corak permainan sebenar kerana kelajuan serta lantunan bola tidak sama seperti bermain atas rumput asli.

Perkara itu diakui sendiri oleh penyerang skuad negara, Luqman Hakim Shamsudin yang berpendapat padang tiruan di Stadium Memorial Rizal sangat berbeza berbanding padang tiruan yang terdapat di Malaysia.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan aksi saya, terdapat kekurangan. Saya selalunya akan menghadapi kesukaran dalam perlawanan pertama. Mungkin pada perlawanan seterusnya saya boleh baiki kelemahan saya jika diberi kepercayaan.

“Beraksi di padang tiruan juga boleh memberi kesan, kerana bola laju sikit sebab kita tak biasa dengan padang di sini. Sebelum ini dah berlatih di turf, tetapi padang ini lebih licin dan bola lebih laju, memberi sedikit halangan kepada kita,” katanya seperti dipetik dalam Bernama.

75485940_2525769657519783_7092162823098204160_o
FOTO: FAM

Dalam perlawanan itu, Myanmar terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui tandukan Kyaw Soe Moe pada minit ke 13 hasil sepakan sudut yang diambil oleh Hlaing Bo Bo.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia cuba bangkit mengatur gerakan tetapi Myanmar terus memberi tekanan kepada benteng pertahanan yang diketuai oleh Adam Nor Azlin dan nyaris menghukum kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

10 minit kemudian, kem skuad negara kembali ceria apabila Hadi Fayyadh menyamakan kedudukan apabila memanfaatkan peluang terhidang dengan menanduk masuk bola hantaran Akhyar Rashid dari sebelah kiri.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan waktu rehat selama tiga hari perlu dimanfaatkan oleh skuad Malaysia untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum dijadualkan bertemu tuan rumah, Filipina pada hari jumaat ini di venue yang sama.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Sukan SEA 2019 melalui pautan dibawah.

Akira Nishino Sasar Kemenangan Pada Perlawanan Menentang Indonesia

Datuk Ong Kim Swee: Perlawanan Pembukaan Sentiasa Sukar

Hadapi Thailand, Indra Sjafri Mohon Doa Dari Masyarakat Indonesia