Skuad bola sepak bawah 22 tahun negara (B-22) terpaksa menelan hakikat bahawa mereka perlu pulang lebih awal daripada temasya Sukan SEA kali ini apabila tewas 1-3 kepada Kemboja pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Memorial Rizal sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee seolah-olah kehilangan punca dan gagal mempamerkan corak permainan yang sebenar. Manakala Kemboja menguasai perlawanan serta kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan negara.

Mimpi buruk Malaysia bermula di separuh masa kedua apabila Sodavid mengambil kesempatan untuk melepaskan rembatan leret pada minit ke 56 selepas bola sepakan penjuru Kemboja ditampan keluar oleh Haziq Nadzli.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat Kemboja untuk terus mengandakan asakan dan mereka berjaya memperolehi jaringan kedua melalui rembatan kaki kiri Sieng Chanthea yang mudah menewaskan Haziq pada minit ke 57.

10 minit kemudian, giliran bekas pemain import PKNP FC, Keo Sokpheng yang tidak dikawal menambah derita negara selepas menyudahkan hantaran cantik dari sebelah kanan.

Malaysia memperolehi gol saguhati pada minit akhir perlawanan melalui pemain gantian, Quentin Cheng namun ia belum cukup untuk memastikan kemaraan skuad negara ke peringkat separuh akhir.

Ini juga merupakan kemenangan pertama Kemboja ke atas Malaysia sejak tahun 1961 dan mereka turut mencipta sejarah mengiringi Myanmar mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan acara bola sepak Sukan SEA melalui pautan dibawah.

Tindakan Justin Baas Kepada Pemain Malaysia Sejurus Tamat Perlawanan Ini Dilihat Sebagai Kurang Ajar.

Park Hang-seo Anggap Temasya Sukan SEA Satu Kejohanan Yang Mencabar

Belum Terkalahkan, Vietnam Masih Bisa Gagal Lolos Ke Semifinal SEA Games 2019