Baru-baru ini terdapat khabar angin mengenai calon ketua jurulatih baharu Kelab Bola Sepak Sri Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Antara calon yang menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ialah bekas jurulatih skuad kebangsaan Filipina, Thomas Dooley.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang melalui laporan dalam Astro Arena mengesahkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada jurulatih luar negara untuk menggantikan tempat Dollah Salleh.

Bagaimanapun, beliau turut memberi bayangan khidmat Dollah dalam skuad Pahang turut dikekalkan tetapi diberikan jawatan yang berbeza.

“Ramai yang ingin menjadi jurulatih pasukan Sri Pahang. Seperti yang diketahui umum, beberapa nama besar telah menghantar permohonan masing-masing dan kami sedang menilai.

“Dollah akan kekal di Pahang dan sekiranya berlaku kehadiran jurulatih dari luar negara bersama Sri Pahang kelak, Insya-Allah akan membuahkan perancangan terbaik bagi pasukan,” katanya wartawan Astro Arena.

Suffian turut tidak menafikan jurulatih dari Jerman, Thomas Dooley berada dalam radar pasukan itu dan pihaknya memerlukan masa untuk memilih calon yang benar-benar layak.

“Kami sebenarnya sedang menilai jurulatih terutama dari luar negara untuk mengepalai barisan kejurulatihan Pahang. Kami akan ketahuinya selepas penilaian dibuat dalam masa terdekat,” jelasnya.

Nama Thomas Dooley cukup terkenal pada era 90-an kerana ketika zamannya sebagai pemain, beliau merupakan kapten skuad Piala Dunia USA pada tahun 1994 dan 1998. Malah, beliau juga pernah membantu USA raih gelaran naib juara CONCACAF Gold Cup pada tahun 1993 dan 1998.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04. Lebih menarik, beliau pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan USA pada tahun 2011 hingga 2012.

Selain Thomas Dooley, Pahang turut menerima permohonan daripada beberapa jurulatih lain iaitu Eduardo Almeida (Semen Padang), Risto Vidakovic (Ceres Negros) and Milomir Seslija (Arema FC).

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

JDT Umum Kerjasama Dengan UNICEF, Kini Sebaris Dengan Barcelona Dan Manchester United

Kedah Darul Aman FC Keluarkan Kenyataan Rasmi Berkaitan Isu Pemilihan Logo Baharu Pasukan

Pulau Pinang Cabar Perak Dapatkan Khidmat Hadin Azman