Bekas pengadil negara, Subkhiddin Salleh enggan memberi komen mengenai prestasi yang ditampilkan oleh pengadil dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.

Baru-baru ini, peminat Sabah meminta pendapat Subkhiddin mengenai insiden ketika aksi menentang Sri Pahang dimana ada pemain Sabah dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh pemain lawan namun pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin tidak memberikan sepakan penalti kepada mereka.

Subkhiddin Salleh kemudiannya membalas permintaan tersebut dengan mengatakan beliau memohon maaf kerana tidak boleh memberi pendapat ekoran ada permintaan dari pihak yang tidak diketahui yang tidak membenarkan beliau untuk mengulas mengenai perkara membabitkan Liga Malaysia.

Bekas pengadil berusia 56 tahun itu menambah beliau menghormati permintaan ‘mereka’ dan sekali lagi memohon maaf kepada peminat tersebut.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, insiden ini nyata membangkitkan kemarahan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee dimana beliau mempersoalkan tindakan Noor Azriel.

Tidak lama selepas itu, Kim Swee dibuang padang oleh Noor Azriel ekoran jurulatih itu membantah secara berlebihan dan perlawanan tamat dengan kedudukan 1-1.

Selepas perlawanan, Kim Swee meminta peminat untuk menilai sendiri sama ada insiden itu patut berpihak kepada kelabnya sekaligus mereka berhak untuk mendapatkan sepakan penalti.

Dalam perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi tandukan Daniel Ting yang mudah menewaskan penjaga gol tok gajah, Izham Tarmizi pada minit ke 14.

Usaha Sri Pahang untuk menyamakan kedudukan membuahkan hasil apabila Kpah Sherman menolak masuk hantaran Azrif Nasrulhaq dari sebelah kanan untuk gol penyamaan pada minit ke 26. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Kedua-dua pasukan tidak berupaya menambah gol kedua kerana masing-masing buntu dan mengalami ketumpulan jentera serangan. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sabah kini menghuni kedudukan kedua Liga Super selepas mengutip 10 mata manakala Sri Pahang berada di tangga keempat dengan 6 mata. Kedua-dua pasukan ini juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 4 perlawanan.