Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh memberikan pandangan memgenai insiden yang melibatkan Hong Wan dan Syafik Ismail.

Terengganu turun berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di laman sendiri semalam dan ada kejadian yang melibatkan kedua pemain pada minit ke-75.

Hong Wan dilihat melakukan terjahan keras ke atas Syafik sehingga pemain itu melayang namun pengadil, Mohd Hasrol tidak memberikan sebarang kad kepada Hong Wan.

Pemain berusia 21 tahun itu sebelumnya dilayangkan kad kuning dan beliau dijangka menerima kad kuning kedua selepas terjahan ke atas Syafik namun pengadil hanya memberikan amaran kepada bekas pemain Wolverhampton Wanderers itu.

Peminat Terengganu di media sosial terus meminta pendapat Subkhiddin sebagai salah satu pengadil berpengalaman dalam negara dan beliau memberikan pendapatnya melalui laman media sosial Twitter.

“Pemerhatian saya, pemain nombor 6 berlari dari satu jarak dan melakukan terjahan pada kelajuan tinggi. Beliau gagal mengawal badannya yang terus menggelongsor menyebabkan daya berteruskan ketika beliau melakukan sentuhan.

“Kaki pemain itu lurus dan penggunaa stud adalah jelas ketika terjahan dilakukan. Keputusannya, saya berpendapat pemain nombor 6 bersalah atas kesalahan serious foul play dan kad merah sepatutnya diberikan,” katanya.

Subkhiddin turut menjelaskan istilah serious foul play seperti mana yang telah ditetapkan dalam Laws Of The Game 2022/2023.

Serious foul play bermaksud terjahan atau cabaran yang membahayakan keselamatan pihak lawan atau menggunakan kekerasan atau kekejaman yang berlebihan mesti dikenakan tindakan keji yang serius.

“Mana-mana pemain yang menerjah ke arah pihak lawan dengan mencabar bola dari hadapan, dari sisi atau dari belakang menggunakan satu atau kedua-dua belah kaki, dengan kekerasan yang berlebihan atau membahayakan keselamatan pihak lawan adalah satu kesalahan yang serius,” tambahnya.

Pada aksi semalam, JDT berjaya meraih kemenangan hasil dari jaringan Bergson dan Fernando Forestieri sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan di carta liga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Isu Pengadil Tendang Fazly Mazlan, Subkhiddin Gesa Pihak Bersalah Diadili Sewajarnya

Liga Premier 2022: Perak Leburkan Rekod Cemerlang Kelantan Di Kota Bharu

Ong Kim Swee Harap Penyokong Sabah Tak Letakkan Tekanan Terlalu Tinggi Buat Embalo