Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh memberikan nasihat kepada pengadil Liga Malaysia untuk lebih peka mengenai permainan pada masa akan datang.

Subkhiddin berkata demikian ekoran insiden pada perlawanan Liga Super antara Melaka United menentang Petaling Jaya City yang menyaksikan pengadil perlawanan, Fairuzi Md Desa yang memberikan penalti kepada PJ City setelah Ahmad Khairil Anuar ‘terjatuh’ pada separuh masa kedua.

Khairil jelas melakukan simulasi namun Fairuzi gagal melihat insiden tersebut dengan baik sekaligus memberikan sepakan penalti, meskipun penjaga garisan telah memberi isyarat tiada sepakan penalti harus diberikan.

“Nasihat saya kepada pengadil, komitmen dan tumpuan sepanjang masa permainan adalah perkara asas untuk menempatkan seseorang pengadil di posisi dan sudut pandangan yang jelas sebelum sesuatu kejadian berlaku dan bukannya selepas kejadian berlaku.

“Fahami bola sepak. Berikan tumpuan kepada pemain pertahanan yang sedang mencabar kerana ia akan memberikan gambaran sebenar terhadap tingkah laku pemain yang cuba mendapatkan keuntungan dengan cara yang salah,” katanya menurut laporan BH.

Subkhiddin
Sumber Gambar: Melaka United

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri mengesahkan pihaknya sudah menghantar aduan rasmi tentang mutu pengadilan perlawanan menentang PJ City kepada FAM.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berakhir dengan keputusan 2-2 dan kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri buat kali kedua berturut-turut dalam perlawanan kedua Liga Super musim 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Bergson Da Silva Sarung Jersi Nombor 9 Johor Darul Ta’zim

Mutu Pengadilan Dipertikaikan, Melaka United Buat Aduan Rasmi Kepada FAM

Statistik Ringkas Perlawanan Kedua Liga Super 2021