Safiq Rahim dan Safee Sali merupakan dua nama besar dalam arena bola sepak negara dimana kedua-dua pemain ini pernah memenangi pelbagai kejuaraan dalam dan luar negara serta membantu skuad kebangsaan memenangi trofi di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, legenda skuad kebangsaan, Khalid Ali menyarankan kedua-dua pemain agar dipanggil semula untuk untuk mewakili Malaysia bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan akan berlangsung pada tahun hadapan.

Menurut Khalid, ada beberapa pemain muda yang belum mencapai tahap antarabangsa dalam permainan mereka dan beliau menganggap Safiq dan Safee masih lagi mampu untuk menyumbang kudrat selain masih cergas untuk beraksi bersama Harimau Malaya.

Safiq Rahim
Sumber Gambar: JST

Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Khalid, kami menjalankan undian di laman media sosial Twitter dengan bertanya kepada peminat bola sepak tanah air sama ada Safiq Rahim dan Safee Sali masih lagi relevan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan atau sebaliknya.

Seramai 80.8 peratus peminat berpendapat kedua-dua pemain tidak lagi relevan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana ketika ini pemain yang dimiliki sudah cukup baik ditambah dengan barisan pemain muda yang dilihat mampu untuk memberi sumbangan kepada pasukan negara.

Baki 19.2 peratus pula berpendapat Safiq dan Safee masih lagi relevan kerana keduanya mempunyai pengalaman yang luas bersama pasukan kebangsaan.

Walau apa pun, ketua jurulatih iaitu Tan Cheng Hoe perlu memanggil pemain terbaik bagi memastikan pasukan negara dapat menampilkan prestasi yang cemerlang pada saingan peringkat kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 sekaligus melayakkan diri ke temasya itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Chia Ruo Han Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Fasa 1 Skuad B-20

FAM Nafi Berbincang Mengenai Perubahan Jumlah Pasukan Liga Super

Kisah Anwar Ridhwan, Dari Pemain Bola Sepak Kepada Jurutera Kanan Syarikat Gergasi Minyak Negara