Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandangkan serius isu perkauman yang sedang melanda saingan Liga Malaysia ketika ini dan tidak teragak-agak untuk menggantung mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan cemuhan atau kritikan berbaur perkauman.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata demikian bagi memastikan saingan liga bola sepak tempatan tidak dicemari dengan insiden sedemikian sekaligus tidak menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum di negara ini.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: FAM

“Sesiapa yang terlibat dengan isu perkauman boleh digantung. Kita harus mengambil serius perkara ini,” kata Stuart menurut laporan Stadium Astro.

Stuart menambah jurulatih atau pemain perlu membuat aduan rasmi kepada FAM sekiranya terdapat komen berbaur perkauman yang dibuat mana-mana individu yang ditujukan kepada mereka.

Setakat ini, FAM dan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum menerima aduan rasmi mengenai dakwaan ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan mengenai kritikan berbaur perkauman yang dilakukan oleh sesetengah peminat Selangor terhadap dirinya.

Selepas perlawanan menentang Perak minggu lalu, Satia meluahkan rasa kecewa beliau apabila ada segelintir peminat Selangor dikatakan memanggil beliau dan pemain pertahanan, K.Prabakaran dengan panggilan “Keling”.

Lantas, ramai pihak menggesa agar FAM dan MFL lebih tegas bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

Baca artikel lain mengenai isu perkauman yang terjadi dalam saingan Liga Malaysia di sini:

B.Sathianathan: “Dah 62 Tahun Merdeka, Masih Lagi Maki Dengan Perkataan Keling Dan Anjing. Itu Fans Ke?”

MFL Dan FAM Pandang Serius Isu Perkauman Yang Melanda Liga Malaysia