Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menggesa pemain yang menghadapi isu tunggakan gaji bersama agar tampil ke hadapan.

Apa yang dimaksudkan oleh Stuart ialah pemain perlu membuat aduan rasmi baik kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) atau MFL sendiri sebagai pengelola liga.

“Keperluan pergerakan yang utama harus datang dari pemain itu sendiri. Kalau mereka tidak tampil ke hadapan, kita tidak boleh cari (membantu) mereka.

“Mereka perlu tampil ke hadapan untuk memastikan kita boleh melindungi dan memberikan sokongan kepada mereka. Pergerakan sulit juga boleh dilakukan dengan MFL dan juga Unit Perundangan FAM.

“Pemain boleh berhubung secara sulit dengan individu yang berada di dalam sistem jika mereka takut untuk mengeluarkan kenyataan atau mendedahkan nama mereka.

“Jika bercakap dengan media, ini tidak akan menyelesaikan masalah. Yang boleh membantu adalah kami dan kita sedia untuk membantu. Langkah pertama mestilah datang dari pemain,” katanya.

Isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia kembali menjadi perbincangan setelah beberapa pegawai serta pemain Sarawak United memuat naik status di laman media sosial mereka memberi gambaran bahawa gaji mereka tidak dibayar oleh majikan.

Stuart Ramalingam menambah mana-mana pemain yang mengemukakan aduan rasmi mengenai masalah tunggakan gaji yang dialami akan dilindungi.

Sarawak United bagaimanapun telah diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat. Hal ini kerana mereka mempunyai hutang tertunggak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang belum diselesaikan.

“Sarawak United harus menyerahkan pembayaran / bukti penyelesaian atas hutang tertunggak mereka terhadap LHDN 2021 kepada Pelesenan Kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 Nov 2021.

“FIB juga akan meminta lebih banyak maklumat kewangan dari Sarawak United FC kerana keraguan terhadap kemampuan pemegang lesen untuk terus mencetuskan kebimbangan berterusan sehingga akhir musim,” kata kenyataan daripada Pengerusi FIB Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Ada Hutang Tertunggak Dengan LHDN, Sarawak United Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat

10 Pasukan Liga Super Dapat Lesen AFC Kecuali Melaka United Dan Sri Pahang

Brad Maloney Jelaskan Faktor Penyenaraian Annil Vigneswaran Dalam Skuad B-22