Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyatakan badan induk bola sepak negara itu masih lagi menunggu keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kekecohan penyokong ketika perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September lalu.

Menurut Stuart, laporan lengkap mengenai kejadian di GBK telah dihantar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga FIFA pada 10 September lalu memandangkan perlawanan tersebut adalah dibawah kendalian FIFA.

FAM
Sumber Gambar: FAM

“Tiada sebarang perkembangan terbaru. Kita telah menghantar laporan kepada Datuk Windsor Paul John pada 10 September lalu dan sekarang FAM masih menunggu keputusan daripada FIFA.

“Bagi kami, tujuan menghantar laporan ialah bukannya mahu melihat Indonesia digantung. Itu bukan satu isu kepada kami. Keutamaan kami adalah perlawanan pada 19 November nanti. Kami berharap FIFA dapat mengeluarkan keputusan sebelum 19 November,” kata Stuart ketika ditemui pada majlis Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Malaysia di Petaling Jaya hari ini.

Tambah Stuart, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga kerana sebarang kejadian tidak diingini boleh berlaku pada perlawanan yang dijangka berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam bersama Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. Sumber Gambar: FAM

“FAM ada mengadakan perbincangan mendalam dengan pihak berkuasa kita. Melihat kepada perlawanan terakhir ada peningkatan dari segi keselamatan. Kami juga mahu memastikan hanya pemegang tiket yang sah dibenarkan memasuki stadium.

“Kami mahu memastikan penyokong pasukan lawan tidak memasuki zon penyokong Malaysia dan sebaliknya. Semua perkara ini dalam pemantauan FAM bagi memastikan tiada isu mengenai tiket,” tambahnya.

Selepas menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September lalu, selepas ini skuad bimbingan Tan Cheng Hoe akan menghadapi Vietnam di Hanoi dan seterusnya pasukan Thailand serta Indonesia di laman sendiri.

Baca artikel lain mengenai insiden di Stadium Gelora Bung Karno di sini:

FAM Dalam Proses Akhir Untuk Mengemukakan Aduan Rasmi Ke FIFA

FAM Hantar Laporan Insiden Di GBK Kepada FIFA Dan AFC