Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Steve Walsh sendiri bukanlah nama asing di England. Kerana kisahnya sebagai pencari bakat / scouting menjadi masyhur ketika dia  menemui bakat seperti N’Golo Kante, Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan ramai lagi sepanjang kerjayanya yang luar biasa.

Pernah dilabel sebagai “orang paling berpengaruh dalam Liga Perdana Inggeris” oleh Sir Alex Ferguson, bekas pencari bakat Chelsea dan Leicester City itu juga pernah mengesyorkan Erling Haaland kepada Everton ketika penyerang remaja Molde itu hanya berharga €4 juta.

Walsh pertama kali mencipta namanya sebagai pencari bakat yang penting ketika di Chelsea di mana dia memantau bakat bakat seperti Didier Drogba, Michael Essien dan Gianfranco Zola untuk kelab itu.

Tetapi kerja menakjubkan yang dilakukan Walsh sebagai ketua pencari bakat dan rekrut pemain adalah ketika di Leicester, di mana dia membantu membina skuad yang memenangi Liga Perdana Inggeris 2015/16. Menjadikan Walsh sebagai sebahagian penting daripada salah satu sejarah paling agung dalam bola sepak Inggeris.

Dalam temu bual 2019 dengan The Athletic, Walsh menjelaskan bagaimana dia mula-mula melihat Mahrez bermain untuk Le Havre di divisyen dua Perancis.

Di mana ketika itu dia berada di sana mencari pemain yang sama sekali berbeza. Pertama, dia perlu meyakinkan Mahrez – yang tidak pernah mendengar tentang kelab Leicester.

Dia meyakinkan Mahrez bahawa Leicester adalah kelab bola sepak sebenar, dan bukannya  “pasukan ragbi” sebelum menandatangani pemain itu dengan nilai £450,000.

Mahrez kemudian dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFA tiga tahun kemudian dan akhirnya dijual kepada Manchester City dengan harga £60 juta – tetapi itu jauh lebih tinggi daripada angka yang berjaya dimeterai oleh Walsh ketika membeli pemain itu.

Walsh menyaksikan seorang lagi bekas pemain Ligue 2 iaitu N’golo Kante. Walsh bertindak segera memintas Marseille untuk menandatangani pemain tengah itu – yang memenangi pemain terbaik perlawanan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/21.

Leicester berjaya membeli Kante dengan nilai £5.2 juta.

Kemudian melakukan salah satu rekrut terbaik dalam sejarah bola sepak. Di mana Walsh berjaya memintas kelab kelab kecil lain untuk mendapatkan Jamie Vardy, daripada pasukan bukan liga, Fleetwood Town pada usia pemain itu 25 tahun dengan harga £1 juta.

Beberapa tahun kemudian, Vardy memenangi kasut emas EPL dan menjadi pemain penting kejuaraan EPL serta Piala FA Leicester. Dia juga menjadi pemain kebangsaan England.

Walsh berkata:

“Kami memantau dia ketika dia berada di Stocksbridge dan memerhatikan ketika dia pergi ke Halifax, dan sekali lagi memantau perkembangannya di Fleetwood. Saya mempunyai dokumen laporan yang berterusan mengenainya. Akhirnya, saya membawanya masuk.”

Kebolehan istimewa Walsh untuk mengesan pemain yang tidak dikenali yang ternyata pemain yang boleh dibangunkan menjadi bertaraf dunia sememangnya menarik perhatian kelab lain.

Pada 2016, beliau dilantik sebagai pengarah bola sepak di Everton.

Walsh hanya bertahan selama 18 bulan di Goodison dan mengakui semasa bercakap dengan The Athletic bahawa dia tidak merasakan dirinya konsisten disokong oleh kelab dalam keputusannya.

“Semasa saya di Everton, saya mencadangkan mereka kerats cadangan untuk tawaran kepadda Andrew Robertson dan Harry Maguire, ketika mereka berada di Hull, dan ia bernilai £20 juta untuk pasangan pertahanan itu,” kata Walsh.

“Everton tidak mahu menerima mereka.”

Beberapa tahun selepas itu, Harry Maguire menyertai Leicester. Dan kemudian menjadi bek tengah termahal di dunia ketika menyertai Man United.

Dia juga menjadi kapten Manchester United dan juga pemain kebangsaan England.

Andy Robertson pula menyertai Liverpool dan membantu kelab itu memenangi UCL, EPL, Piala FA, Piala Liga dan beberapa lagi piala.

Walsh menyatakan bahawa, Everton sentiasa tidak mahu memberikannya sokongan.

“Saya juga telah membuat perjanjian untuk Jonny Evans sebelum dia datang ke Leicester, tetapi sekali lagi mereka tidak mahu mengambilnya.”

Evans yang dianggap Everton sebagai sudah tidak boleh bermain di tahap tertinggi ternyata menjadi bek tengah yang meningkat naik sekali lagi. Dia malah menjadi buruan Arsenal dan Manchester City.

Namun ketamakan kelab mereka ketika itu meminta bayaran terlalu tinggi membuatkan pemain itu terus kekal di West Brom. Dan kemudian meninggalkan kelab itu ketika mereka tersingkir dari EPL.

Evans dilepaskan dengan harga jauh lebih rendah kerana ada klausa penyingkiran.

Selain itu Walsh turut mencadangkan Erling Haaland kepada Everton. Dan ianya juga tidak dilayan.

“Erling Haaland, penyerang remaja bersama Salzburg, saya telah menghantar dia dan ayahnya ke kelab dengan perjanjian yang dibuat dengan harga €4 juta. Malangnya kelab tidak menyokong usaha saya.”

Hari ini harga Erling Haaland adalah sekitar €100 juta. City berjaya mendapatkan dia dengan harga lebih murah pun sebab ada klausa pelepasan mampu milik diselitkan Raiola dalam kontrak pemain itu.

Walsh berkata, dalam kerjaya seorang pencari bakat, mereka harus menilai pemain secara individu dengan sangat terperinci. Ini kerana, kadangkala mata mereka dikaburi oleh prestasi berpasukan yang cemerlang dan memikirkan bahawa seorang pemain itu adalah pemain yang sangat bagus.

Rupa rupanya, ada pemain lain yang membuatkan pemain itu bagus. Dan pemain ‘itulah’ yang harus dipantau sebenarnya. Kemudian menganalisis peranan mereka kepada pasukan serta butiran lain termasuk maklumat kecergasan, rekod kecederaan, usia dan bermacan lagi untuk dokumentasi dan perundangan.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group