Bekas ketua jurulatih TRW Kelantan, Steve Darby mengenang semula detik ketika beliau dipecat menerusi laman media sosial Facebook sewaktu mengendalikan kelab dari Pantai Timur itu.

Darby berkongsi perkara ini ketika beliau berbincang mengenai tindakan pemilik Twitter, Elon Musk yang memecat salah seorang pekerjanya menerusi laman media sosial itu selepas timbul isu pengguna Android mengalami sedikit kelewatan ketika menggunakan Twitter.

Perkara tersebut berlaku pada 16 April 2014, apabila presiden Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa telah memecat Darby menerusi perkongsian di Facebook. Menurut Tan Sri Anuar, beliau telah pun mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan The Red Warriors untuk melepaskan Darby secara serta merta.

Selain itu, beliau juga telah mengesahkan pemain import baharu mereka Prince Tagoe turut diikat pasukan tersebut untuk menjadi tonggak serangan Kelantan.

“Setelah berbincang dengan pengurusan TRW sebentar tadi, kita mengambil keputusan melepaskan Steve Darby dari tugas kejurulatihan TRW berkuatkuasa serta merta.

“Kita juga mengesahkan TRW telah mengikat kontrak dgn pemain Piala Dunia dan Bundesliga dari Ghana iaitu Prince Tagoe. Beliau dijangka beraksi Jumaat ini menentang Sarawak,” jelas kenyataan Tan Sri Annuar Musa menerusi Facebook.

Setelah memecat Steve Darby, Kelantan juga berhutang terhadap pengendali dari England itu dimana mereka diarahkan untuk membayar sebanyak RM636,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada mulanya Darby hanya menuntut jumlah RM240,000 sahaja namun kerana keengganan KAFA menyelesaikan perkara itu lebih awal akhirnya menjerat diri sendiri yang membawa kepada keputusan pembayaran penuh tanpa sebarang pengurangan.