Jurulatih berpengalaman luas di pentas saingan bola sepak Asia Tenggara (ASEAN), Steve Darby percaya bahawa Vietnam mampu mengecapi sesuatu yang lebih baik sekiranya dapat meneruskan perkembangan bola sepak di negara tersebut.

Peningkatan ketara dapat dilihat selepas pengendali dari Korea Selatan, Park Hang-seo mula bersama skuad kebangsaan Vietnam pada Oktober 2017 dimana beliau telah membawa pelbagai kejayaan di peringkat bawah 23 tahun (B-23) dan skuad senior.

Impak pantas yang dapat disaksikan apabila skuad B-23 Vietnam muncul naib juara Kejuaraan AFC B-23 dan menduduki tempat keempat Sukan Asia 2018. Barisan pemain muda Vietnam seterusnya muncul juara Sukan SEA bagi dua temasya berturut-turut (2019 dan 2021).

Bagi pasukan senior pula, Vietnam menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi Piala AFF selepas menundukkan Malaysia pada edisi 2018.

Kecemerlangan itu diteruskan dengan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Asia 2019 dan kemudiannya menjadi salah sebuah negara yang beraksi di pusingan akhir peringkat kelayakan Piala Dunia 2022.

Kecemerlangan terutamanya di peringkat senior telah meletakkan Vietnam sebagai 100 pasukan terbaik dalam ranking dunia FIFA dimana pada ketika ini mereka berada dikedudukan ke-96.

Sehubungan dengan itu, Steve Darby yang pernah membimbing Johor, Perak dan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia melihat masih ada perkara perlu dilakukan oleh Vietnam bagi merealisasikan impian untuk layak ke saingan Piala Dunia 2026.

Park Hang-seo ketika mengendalikan sesi latihan pasukan. Kredit Foto: Liên đoàn Bóng đá Việt Nam – VFF

“Saya percaya Vietnam mampu untuk melakukannya sekiranya mereka dapat meneruskan perkembangan seperti dapat disaksikan pada ketika ini.”

“Kuncinya adalah perancangan. Terdapat empat tugasan yang perlu dilakukan oleh Vietnam [untuk layak ke Piala Dunia 2026],” ujar Darby menurut wawancara beliau bersama VN Express International.

“Pertamanya, pemain terbaik dalam negara perlu menyasarkan untuk bermain di luar negara dalam liga yang lebih tinggi seperti Liga Jepun atau Liga Korea.”

“Itulah sebabnya saya menghormati apa yang Nguyen Quang Hai telah lakukan. Tidak kira apa, dia akan menjadi pemain yang lebih kuat berikutan pengalamannya di Perancis.”

“Perkara kedua ialah Liga Vietnam perlu mengurangkan kuantiti dan meningkatkan kualiti dalam aspek pengambilan pemain import. Bagaimana penyerang [tempatan] ingin meningkat sekiranya tidak diberikan peluang beraksi.”

“Jangan hanya membawa masuk pemain import dengan fizikal yang besar tetapi kekurangan pendidikan dalam bola sepak. Carilah pemain berpengalaman yang berada di Eropah Timur, Jepun dan Argentina.”

“Ketiga, kelab Liga Vietnam perlu meningkatkan kualiti padang dan pusat latihan mereka dan terakhir sekali ialah setiap kelab perlu mempunyai kakitangan perubatan yang berkelayakan untuk memastikan pemain dapat kecederaan yang tidak perlu,” tambah Steve Darby lagi.

Difahamkan, saingan Piala Dunia 2026 akan diadakan di Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.