Newcastle United pasca pemilikan baharu oleh Public Investment Fund (PIF) sudah mula menunjukkan langkah awal apabila pengurus pasukan, Steve Bruce sah telah meninggalkan kelab tersebut dengan persetujuan bersama.

Perkembangan terkini diumumkan laman sesawang rasmi Newcastle United itu sekali gus menamatkan jodoh Bruce selama dua tahun sejak menggalas tanggungjawab tersebut pada 17 Julai 2019.

Bruce telah membawa The Magpies menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2019/20 di kedudukan ke-13 manakala musim lalu menduduki tangga ke-12 sementara itu melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Carabao 2020/21 dan Piala FA 2019/20.

“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan Newcastle United kerana memberikan peluang buat saya menguruskan pasukan bola sepak yang unik ini.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan saya, para pemain dan kakitangan sokongan berhubung segala usaha keras mereka,” ujar Bruce menghargai semua yang terlibat.

“Terdapat turun naik dalam semua perkara tetapi mereka memberikan segalanya walaupun pada waktu sukar dan mereka harus berbangga dengan segala usaha dicurahkan.”

“Ini adalah kelab dengan sokongan luar biasa dan saya harap pemilik baharu dapat meneruskannya ke arah yang mereka mahukan. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada semua sepanjang musim ini dan seterusnya,” tambah Steve Bruce lagi.

Sementara menantikan pengumuman kehadiran pengurus baharu, Graeme Jones yang merupakan pembantu Bruce akan bergelar pengurus sementara (interim) dan dibantu oleh Steve Agnew, Stephen Clemence, Ben Dawson dan Simon Smith.

Dengan suntikan dana besar bakal diterima, sudah pasti pengurus dengan nama besar bakal menjadi pilihan Newcastle United selepas ini.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

TERKINI: Kelab EPL Halang Newcastle Dapat Tajaan Luar Biasa Dari Syarikat Minyak Saudi

Kenali Toon Army Malaysia, Pendukung Jatuh Bangun Newcastle United

Newcastle United Bakal Terima ‘Limpahan Wang’, Yasir Al-Rumayyan Jadi Pemilik Baharu