Kehadiran pemain dari Indonesia, Asnawi Mangkualam dalam kelab K-League 2, Ansan Greeners FC ternyata memberi keuntungan kepada Liga Korea apabila sebuah stesen TV berbayar dari Indonesia, Total Sports Blast (TSB) dilaporkan telah membeli hak penyiaran untuk musim 2021.

TSB merancang untuk menyiarkan semua perlawanan yang melibatkan pasukan Ansan Greeners kerana terdapat permintaan tinggi daripada seluruh peminat bola sepak Indonesia untuk melihat aksi pemain muda itu.

Ia juga merupakan sejarah baharu bagi bola sepak negara itu kerana Asnawi merupakan pemain pertama dari Indonesia beraksi dalam saingan Liga Korea yang akan buka tirainya pada 27 Februari ini.

Pengendali K-League semalam mengesahkan pihaknya telah berjaya menjual hak penyiaran kepada 34 negara termasuk Malaysia. Malah, mereka juga sedang berunding dengan beberapa negara di eropah untuk memasarkan liga mereka ke sana.

Menurut kenyataan rasmi, impak kehadiran Asnawi Mangkualam dijangka akan menarik potensi lebih 9.5 juta langganan berbayar melalui platform TSB dan Liga Korea kini mempunyai pengikut terbesar dari Indonesia.

Selain saingan K-League 2, TSB turut akan menyiarkan semua perlawanan K-League 1 yang melibatkan beberapa pasukan gergasi seperti Ulsan Hyundai, Samsung Bluewings, Jeonbuk Hyundai, FC Seoul dan lain-lain.

Liga Korea juga boleh ditonton secara percuma oleh peminat dari seluruh dunia melalui platform K League TV yang dibangunkan oleh Sportradar.

“Sportradar sentiasa mempromosi Liga Korea untuk menarik lebih ramai orang menonton dan meningkat jumlah penyokong setia.

“Musim ini merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan jumlah pengikut melalui pelancaran platform K League OTT,” kata Sportradar dalam kenyataan rasmi.

Selain hak penyiaran, media sosial rasmi Ansan Greeners turut mencatat peningkatan jumlah pengikut yang luar biasa sejak hari pengumuman rasmi Asnawi Mangkualam.

Kira-kira sebulan yang lalu, VOCKETFC pernah menerbitkan sebuah artikel berkenaan melalui pautan dibawah. 

Asnawi Mangkualam Belum Diumumkan Secara Rasmi, ‘Followers’ Instagram Ansan Greeners Naik 740%

RASMI: Asnawi Mangkualam Diumumkan Sebagai Pemain Baharu Kelab K.League 2, Ansan Greeners FC