Sejarah tercipta ketika perlawanan antara Mexico menentang Poland semalam apabila individu dari Perancis, Stephanie Frappart muncul sebagai wanita pertama jadi pengadil Piala Dunia bola sepak lelaki.

Frappart ditugaskan sebagai pegawai keempat perlawanan hari ini dan dia adalah seorang daripada dua lagi wanita yang dipilih sebagai pengadil kejohanan kali ini, selain Yamashita Yomishi (Jepun) dan Salima Mukansanga (Rwanda).

Mereka adalah antara 36 pengadil yang ditugaskan pada kejohanan kali ini di Piala Dunia 2022 Qatar.

Selain itu, Neuza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina (Mexico) dan Kathryn Nesbitt (Amerika Syarikat) adalah antara 69 pembantu pengadil di Piala Dunia kali ini.

Frappart sebelum ini pernah bertugas ketika kelayakan Piala Dunia lelaki dan Liga Juara-Juara. Dia juga pernah diberi kepercayaan untuk mengadili perlawanan final Piala Dunia wanita 2019 dan juga ketika final Piala Perancis lelaki tahun ini.

Perlawanan Mexico menentang Poland berakhir tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan gagal menemui gol pertama walaupun banyak percubaan berbahaya dilakukan.

Malah, penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa menjadi wira pasukan apabila beliau menyelamatkan sepakan penalti Robert Lewandowski.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 974, kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang seimbang dimana masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun gagal untuk memanfaatkan peluang yang dimiliki.

Peluang terbaik Mexico untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama hadir menerusi percubaan dari Alexis Vega dan Jesús Gallardo namun percubaan kedua-dua pemain tidak menepati sasaran. Bagi Poland pula, tidak banyak yang dilakukan oleh mereka sekaligus separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0.

Kedua-dua pasukan terus gagal untuk mencipta jaringan sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 0-0 dan masing-masing pasukan membawa pulang satu mata.

Sebelumnya, dua lagi pasukan dalam kumpulan C iaitu Arab Saudi dan Argentina bertemu dan wakil Asia itu berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan yang diperkuatkan oleh salah seorang bintang dunia iaitu Lionel Messi.