Penyerang muda negara, Zafuan Azeman yang menjalani ujian bersama kelab Thai League 1, Bangkok United akan mengetahui status beliau bersama pasukan itu apabila barisan kejurulatihan kelab akan membuat keputusan pada hujung minggu ini.

Zafuan telah menjalani ujian bersama Bangkok United sejak tiga minggu lalu dan menurut salah seorang sumber yang memberitahu kepada kami, barisan kejurulatihan kelab akan membuat keputusan sama ada mahu menandatangani Zafuan atau sebaliknya pada Jumaat ini bertepatan dengan jendela perpindahan kedua Liga Thailand dibuka.

mohd_zafuan_azeman_under19_afc

Menurut sumber itu lagi, pada minggu pertama Zafuan tiba di Bangkok, bekas pemain Kedah itu berlatih bersama pasukan B dimana beliau menampilkan aksi yang memberangsangkan. Memasuki minggu kedua, ketua jurulatih Bangkok United, Alexandre Polking mengarahkan Zafuan untuk berlatih bersama pasukan utama.

Memasuki minggu ketiga, Zafuan masih lagi menjalani latihan bersama pasukan utama dan perkembangan yang ditampilkan oleh beliau adalah positif. Tidak mustahil pasukan yang muncul naib juara Thai League 1 musim 2018 ini menawarkan kontrak profesional kepada Zafuan.

Zafuan Azeman
Sumber Gambar: Goal.com

Dalam saingan Thai League 1 musim 2019, Bangkok United ketika ini menduduki tangga ke-7 dengan kutipan 16 mata. Jika Zafuan mendapat kontrak profesional, maka beliau akan bersaing dengan penyerang Jepun, Mike Havenaar dan penyerang dari El Salvador, Nelson Bonilla.