Hari ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita daripada sebuah media tempatan mengenai hukuman penggantungan dua tahun ke atas juara Liga Super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut laporan Utusan Malaysia, JDT tidak dibenarkan beraksi dalam saingan AFC Champions League musim depan kerana telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan kelab elit Asia itu di Qatar pada bulan lepas.

JDT tidak dapat hadir di Doha ketika itu kerana kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Perkara ini sudah dimaklumkan (kepada FAM) dan JDT tidak dapat beraksi di ACL selepas borang penyertaan mereka ditolak,” kata sumber daripada utusan malaysia berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John enggan memberi sebarang komen dan beliau menjelaskan AFC akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada minggu depan.

Berdasarkan artikel 6.2.5.3 dalam peraturan pertandingan, ia menyatakan pasukan yang telah menarik diri di peringkat kumpulan bakal dikenakan hukuman denda sebanyak US$50,000 (RM207,000) dan digantung 2 tahun daripada memohon lesen kelab AFC.

Namun, hukuman itu boleh dikecualikan berdasarkan perenggan 6.4 yang menyatakan sebarang hukuma dikenakan ke atas pasukan yang menarik diri selepas pertandingan bermula tidak boleh dikenakan sekiranya berlaku force majeure (situasi luar jangka)

JDT sempat menghadapi dua perlawanan di peringkat kumpulan menentang Vissel Kobe pada 12 Februari lalu kemudian mencatat kemenangan 2-1 ke atas Suwon Bluewing pada 3 Mac 2020 di Stadium Sultan Ibrahim.

Sudah tentu peminat berharap hukuman JDT dapat dikurangkan kerana mereka bukan menarik diri secara sengaja tetapi ia adalah larangan daripada pihak kerajaan sendiri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah. 

Dato’ Windsor John: Penarikan Diri JDT Daripada ACL Tidak Beri Kesan Pada Kedudukan Mata Dan Slot MA

JDT Dominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020

RASMI: JDT Sah Ikat ‘Ubi’ Muda Berusia 21 Tahun Dari Indonesia, Syahrian Abimanyu