Ketika pasukan lain sudah pun mempunyai barisan pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2020 namun skuad Tok Gajah masih tercari-cari calon pemain import terbaik untuk memperkuatkan pasukan itu.

Pahang setakat ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga pemain import bagi mengisi posisi tengah dan serangan menggantikan tempat Safuwan Baharudin (Singapura), Saddil Ramdani (Indonesia), Lazarus Kaimbi (Namibia) yang kontrak mereka tidak disambung.

Hanya khidmat pemain pertahanan dari Perancis, Herold Goulon sahaja dikekalkan manakala status orang besi, Dickson Nwakaeme masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong setia Tok Gajah meskipun dia dikatakan sudah berada di Kuantan beberapa hari lalu.

Menurut laporan daripada Arena Metro, setakat ini, persoalan sama ada Nwakaeme akan kembali menyarung jersi Pahang hanya akan terjawab seawalnya bulan depan.

“Memang ada perundingan tetapi ia turut membabitkan beberapa perkara termasuk dari segi kontrak.

“Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan kontrak itu kemungkinan kelibat Nwakaeme akan dapat disaksikan dalam saingan Liga M musim ini,” kata sumber daripada Arena Metro.

Dickson Nwakaeme
Sumber Gambar: Info Terkini

Pemain yang berusia 33 tahun itu telah menjaringkan 19 gol bersama skuad tok gajah dalam saingan Liga Malaysia musim 2019. Namun, beliau gagal mengulangi pencapaian pada musim 2014 dimana Pahang menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Kehadiran penyerang berbadan sasa itu mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air kerana pemain tersebut sering menjadi mimpi ngeri kepada pemain pertahanan lawan ketika zaman kegemilangannya pada tahun 2015.

Pahang turut tidak melanjutkan kontrak beberapa pemain utama musim lalu seperti Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Zubir Azmi.

Mereka mengekalkan tonggak utama seperti Muslim Ahmad, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Faisal Halim dan Faisal Rosli dibantu Mohamadou Sumareh serta Matthew Davies.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Amri Yahyah Bakal Sertai Skuad The Red Warriors?

Gandingan Brendan Gan Dan Sandro Mampu Jadi Senjata Utama Bagi Selangor

Indonesia Jadi Destinasi Pra Musim Skuad Melaka United

Sumber