Cadangan Malaysian Football League (MFL) untuk memperkenalkan waktu perlawanan seawal 8.15 malam selain jam 9.00 malam adalah satu langkah proaktif yang dijangka mampu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, situasi itu akan mampu menaikan lagi jumlah tontonan secara tidak langsung apabila semua perlawanan tidak lagi dilangsungkan secara serentak pada waktu sama.

Formula itu hampir serupa yang diamalkan oleh kebanyakan liga-liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam memastikan semua perlawanan dapat disaksikan peminat selain beliau mencadangkan pertembungan pasukan-pasukan besar dapat dijarakkan.

“Jika dilihat dari sudut penyiaran di liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris yang mempunyai nilai tontonan tertinggi, sememangnya pengasingan jadual perlu dilakukan selain tidak menembungkan pasukan-pasukan besar dalam waktu yang sama.

“Sebagai contoh perlawanan membabitkan Liverpool dan Manchester United pasti tidak akan bertembung kerana sudah pasti mereka mahu penyokong Manchester United menyaksikan perlawanan babitkan Liverpool, begitu juga Liverpool diharapkan menonton aksi Manchester United.

“Jadi faktor-faktor seperti ini telah menaikkan rating di Liga Perdana Inggeris (EPL) , situasi sama yang saya harapkan mampu berlaku di Liga Malaysia apabila penjadualan perlawanan mengikut beberapa waktu berbeza termasuk Sabah dan Sarawak (7.30 malam dan 8.15 malam).

“Setiap penyokong di Malaysia pasti lebih berpeluang menonton aksi pasukan lain apabila waktu sepak mula tidak sama lagi dengan pengenalan lebih awal iaitu 8.15 malam selain 9.00 malam.

“Jadi, saya mahu ucapkan tahniah kepada MFL apabila mendengar berita ini kerana membuat satu langkah yang sangat penting dalam usaha menaikkan nilai penyiaran Liga Malaysia bagi jangka mas panjang,” katanya kepada MFL.

MFL telah mencadangkan dua waktu sepak mula berbeza iaitu 8.15 dan 9.00 malam manakala perlawanan di bulan Ramadan, 10.00 malam bagi aksi di semenanjung.

Bagi aksi di Sabah serta Sarawak, perlawanan dicadangkan antara 7.30 dan 8.15 malam sementara bulan Ramadan pada jam 9.15 malam.

Perubahan waktu perlawanan itu merupakan salah satu perubahan dicadangkan oleh MFL selain format Piala FA apabila hanya satu perlawanan akan berlangsung sehingga ke perlawanan akhir sekali gus memansuhkan format timbal balik bagi peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Situasi itu bagaimanapun dapat difahami Stanley kerana memahami jadual musim 2022 yang dijangka akan menjadi terpadat berbanding musim-musim sebelum ini.

“Banyak perkara kena pertimbangkan seperti persiapan pasukan kebangsaan bagi hadapi kelayakan Piala Asia selain JDT, Kedah dan Kuala Lumpur City akan bermain di peringkat AFC.

“Jadi apabila MFL menetapkan hanya satu perlawanan sahaja di setiap peringkat, bagi saya situasi itu seperti memberi nafas kepada setiap pasukan.

“Namun apa paling penting adalah Piala FA telah kembali dipertandingkan selepas dua tahun, bagi saya itu perkara paling positif perlu dilihat tanpa mengambil kira bagaimana format yang diperkenalkan MFL,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Fernando Forestieri Jadi ‘Peneman’ Bergson Da Silva Di Jentera Serangan JDT

Azri Abdul Ghani Sertai Kuala Lumpur City

Abang Kandung Anthony Martial Sah Sarung Jersi Sri Pahang