Khabar kurang gembira datang dari Kuala Lumpur City apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan dalam masa terdekat.

Perkara ini dikongsikan dalam satu Matchday Program pada aksi pusingan pertama Piala FA menentang Langkawi City FC di Stadium KLFA dimana selain Stanley, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad bakal mengikut langkah sama.

“Ini berikutan tekanan yang dihadapi Khalid dan Stanley Bernard untuk melepaskan genggaman mereka ke atas kelab ini dan memberi laluan untuk puak baru menerajui KLFA dan mengambil alih pengurusan KL City.

“Sekiranya Khalid meletak jawatan, ini akan dituruti oleh Stanley manakala kedudukan jurulatih Bojan Hodak, yang dilantik oleh Stanley, juga tergugat. Ramai penyokong tidak sedar yang Stanley salama in telah melindungi KL City dari ancaman politik sejak awal tahun lalu.

Stanley Bernard
Bojan Hodak

“Satu personaliti politik telah mengundur diri selepas gagal mengusir Stanley dengan menggunakan seorang ahli perniagaan sebagai proksi. Malangnya, Stanley terpaksa akur kepada puak terbaru ini yang lebih berpengaruh sehinggakan penaja-penaja baru pun ketakutan untuk melepaskan duit yang menyebabkan kantung kelab kosong dan gaji pasukan tertunggak dua bulan.

“Bagi menyelesaikan kemelut ini, Khalid dan Stanley sedia berundur demi kebaikan dan kelangsungan pasukan dan KL City. Hanya penyokong yang memahami apa yang diharungi Stanley dan Khalid selama 15 bulan yang lepas ini dapat menghargai usaha mereka, termasuk membawa pulang Piala Malaysia ke Kuala Lumpur selepas 32 tahun,” dipetik dari Matchday Program yang dikeluarkan.

Krisis yang dialami oleh KL City ini nyata mengejutkan lebih-lebih lagi selepas mereka memenangi saingan Piala Malaysia musim lalu dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir.

Meskipun tidak menerima gaji selama dua bulan, namun pemain masih lagi menampilkan prestasi terbaik dimana KL City baru-baru ini mencatat kemenangan besar 8-0 ke atas Langkawi City pada aksi pusingan pertama Piala FA.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Khalid Ali Harap Pemain Malaysia Tahan Dengan Latihan Keras Kim Pan-gon

Syahir Bashah Mahu Bawa Selangor Ke Pentas Asia

Khalid Samad Letak Jawatan, Zahid Hamidi Bakal Naik Selaku Presiden Baharu KLFA?