Bekas pertahanan Manchester United, Jaap Stam yakin bahawa Erik ten Hag mampu untuk mengembalikan prestasi terbaik yang pernah dimiliki kapten The Red Devils, Harry Maguire terutamanya seperti ketika bersama Leicester City.

Sudah memasuki tahun ketiganya bersama Manchester United, Maguire sentiasa menjadi bahan jenaka buat para penyokong bola sepak seluruh dunia berikutan aksi kurang bermaya ditampilkannya.

Banyak kesilapan mudah yang dilakukannya sehingga menyebabkan para penyokong Manchester United di alam maya juga sudah mula ‘muak’ melihat aksi pertahanan termahal dunia itu.

Bagaimanapun, Stam yang beraksi bersama United bermula tahun 1998 hingga 2002 itu melihat kehadiran ten Hag akan memberikan sinar baharu buat Maguire.

“Saya masih merasakan bahawa Harry Maguire adalah merupakan seorang pemain yang bagus. Dia adalah pertahanan yang bagus,” ujar Stam menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Anda perlu memahami bahawa setiap pemain dan saya sendiri turut pernah mengalaminya masa-masa yang sukar membuatkan keyakinan diri menjadi rendah. Kita berasa semuanya tidak berjalan dengan baik dan melakukan kesalahan.”

“Jadi ketika anda bernilai £100 juta [harga Maguire] dan anda membuat kesilapan, ya, anda akan mengalami tekanan yang lebih besar pada saat itu.”

“Dia bermain dengan bagus juga pada musim ini. Menikmati baki musim ini dan mungkin dengan kehadiran jurulatih baharu, dia akan menikmati permulaan baharu. Akan banyak belajar daripada musim ini dan apa yang dia telah lakukan serta apa yang dia perlu untuk lakukan.”

“Adakah dia perlu lakukan perubahan atau tidak? Mungkin dengan memiliki pemain yang berbeza disampingnya atau di hadapannya akan membantu dia untuk mendapatkan lebih keyakinan diri, jadi mungkin musim depan anda akan lihat pemain yang berbeza,” tambah Stam lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak di seluruh dunia:

Guardiola Seru Manchester City Agar Terima Hakikat

Chanathip Songkrasin Alami Cedera Otot, Mungkin Terlepas Saingan Kelayakan Piala Asia 2023

UCL: Manchester City Melepaskan Kelebihan 2 Gol Pada Saat Akhir Dan Tersingkir

 

 

Sumber