Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melangkah ke hadapan melalui fasiliti berkelas dunia apabila gelanggang keramat pasukan itu, Stadium Sultan Ibrahim dijemput untuk menjadi wakil Malaysia pertama ke Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik).

Menurut kenyataan rasmi, Stadium Sultan Ibrahim telah menarik perhatian pemerhati dengan pengurusan profesional, pemeliharaan dan reputasi stadium tersebut.

“Stadium Sultan Ibrahim telah dijemput untuk menjadi wakil Malaysia pertama ke Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik) selepas menarik perhatian pemerhati dengan pengurusan profesional, pemeliharaan dan reputasi stadium Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Persatuan Pengurusan Venue (VMA) adalah badan untuk venue industri profesional di Australia, New Zealand dan Asia dengan lebih 900 keahlian, mewakili lebih 300 venue utama dari pelbagai sektor termasuk venue sukan dan bukan sukan.

“Stadium Sultan Ibrahim telah dijemput untuk menjadi sebahagian daripada Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia.

“Jemputan kepada Stadium Sultan Ibrahim ini juga adalah indikator kepada pengiktirafan berterusan kepada stadium ini sejak dibuka pada Februari 2020.

“Stadium ini juga pernah dinamakan sebagai ‘World Stadium of the Year’ pada tahun 2020,” tulis kenyataan rasmi Johor Southern Tigers. 

Tanpa keraguan bertepatan dengan status selaku stadium terbaik di Malaysia, kualiti padang di Stadium Sultan Ibrahim memang tiada tandingan dengan penerapan teknologi tinggi.

Hal ini memberikan gambaran jelas bahawa sekiranya beraksi dalam keadaan hujan lebat sekalipun, ia tidak menjadi masalah untuk mengadakan perlawanan antarabangsa.

Dari segi permainan pula, ia turut akan mempengaruhi persembahan pasukan kerana sebahagian besar daripada pemain skuad kebangsaan berkemungkinan akan dibarisi pemain dari JDT.