Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman mengesahkan gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) antara lokasi pilihan sebagai venue perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya.

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) bermula pada bulan Mac ini.

Oleh sebab itu, FAM sedang mempertimbangkan beberapa venue alternatif termasuk Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, Stadium Sultan Zainal Abidin dan Stadium Hang Jebat.

“Kita sebenarnya belum putuskan lagi mengenai pasukan lawan dan juga venue, ia masih dalam perbincangan.

“Ramai yang menawarkan venue mereka tetapi kalau nak katakan stadium terbaik setakat ini ialah Stadium Sultan Ibrahim,” katanya dipetik dalam bernama. 

Minggu lepas, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu kenyataan di laman twitternya menawarkan SSI sebagai gelanggang sementara untuk kegunaan skuad Harimau Malaya.

“Setelah berbincang dengan Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkenaan penyelenggaraan padang SNBJ yang akan bermula Mac ini, saya telah berjumpa dengan Presiden FAM untuk berkongsi ‘update’ dan menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu padang SNBJ siap,” tulis TMJ.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.

Malah, kos penanaman rumput baharu di SNBJ turut ditaja sepenuhnya oleh TMJ ketika diumumkan dalam lawatan rasmi ke venue berkenaan pada bulan Mac 2022.

Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola yang berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah bila ‘sliding tackle’ dilakukan kerana rumput akan tercabut.