Malaysia Football League (MFL) sebentar tadi mengesahkan hanya menerima bidaan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023 selepas proses bidaan ditutup pada (24 Mei 2023) jam 5.00 petang.

MFL sebelum ini menetapkan bahawa pemilihan venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 akan dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia 2023 bermula 19 Mei 2023.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Julai 2023.

“SNBJ masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober jadi MFL tidak dapat menggunakan stadium itu bagi final Piala FA kali ini.

“Walaupun telah dipertimbangkan, MFL juga tidak dapat menangguhkan perlawanan itu memandangkan kekangan kalendar pertandingan selepas Oktober yang padat dalam tempoh itu dengan pusingan akhir perlawanan Liga Super, permulaan kedua-dua Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2023 dan juga terdapat tarikh-tarikh penting melibatkan tugasan antarabangsa pasukan kebangsaan (FIFA days), pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang bermula September hingga Disember depan,” jelas MFL.

Dalam tempoh bidaan yang dibuka pada 19 Mei 2023 hingga 24 Mei 2023, hanya JDT telah mengemukakan permohonan di mana tiada sebarang bidaan diterima MFL daripada kelab lain atau memohon lanjutan tempoh bidaan meskipun peringatan sudah diberikan kepada semua kelab.

Bagi melayakkan bidaan, kelab dan venue perlawanan yang dinamakan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MFL seperti yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2023.

Dalam proses bidaan, MFL menyediakan 11 bidang pematuhan utama dan antara sub-kriteria kelayakan venue yang telah ditetapkan seperti sokongan kerajaan tempatan serta pihak berkuasa dan keselamatan tempatan.

Kesediaan stadium dan fasiliti sedia ada untuk menganjurkan perlawanan akhir berskala besar dengan kemudahan teknikal dan operasi yang sesuai dengan majlis.

Selain itu, penyediakan padang latihan yang mematuhi ketetapan MFL bagi kegunaan kedua-dua pasukan dan kumpulan pengadil.

Kriteris seterusnya ialah permukaan padang yang baik dan bersedia untuk sebarang keadaan cuaca dan pencahayaan yang diperlukan serta terdapat persediaan logistik bagi penyiar rasmi MFL.

Penggunaan stadium dan kawasan persekitaran stadium tanpa halangan sebelum dan selepas selepas perlawanan menjadi perkiraan serta bertanggungjawab ke atas aspek keselamatan termasuk menyediakan dan menempatkan petugas keselamatan dan petugas venue.

Berikutan tiada bidaan diterima daripada kelab lain selain JDT maka MFL mengesahkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim telah dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023.

Bagaimanapun sebarang perubahan berkenaan pemilihan venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.